PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mengadakan lawatan kerja ke empat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di daerah ini bagi meninjau prestasi serta memperkukuh sokongan kerajaan terhadap industri tempatan.
Empat perusahaan yang dilawati ialah Ja Hwa Bakery, Indahmanis Label & Packaging, Twinine dan SL Products yang masing-masing mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam bidang pembuatan makanan, pembungkusan serta produk berasaskan makanan tempatan.
Ewon berkata, secara keseluruhannya, keempat-empat perusahaan itu mencatatkan pendapatan antara RM8 juta hingga RM16 juta dengan menggaji antara 15 hingga 100 orang pekerja tempatan yang menverminkan kekuatan dan potensi sektor PKS di daerah ini.
“Ja Hwa Bakery mencatatkan perolehan melebihi RM16 juta pada tahun lalu dengan menggaji kira-kira 100 pekerja, manakala Indahmanis Label & Packaging menjana lebih RM13 juta dengan tenaga kerja sekitar 80 orang serta menyediakan perkhidmatan kepada lebih 500 syarikat klien.
“Manakala Twinine pula mencatatkan perolehan lebih RM8 juta dengan 40 pekerja dan SL Products merekodkan perolehan melebihi RM10 juta dengan 15 pekerja melalui pengeluaran produk berasaskan sarang burung dan makanan laut,” katanya selepas mengadakan lawatan ke premis PKS di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan usahawan tempatan untuk berkembang dan bersaing dalam industri.
“Saya berbangga melihat kejayaan usahawan tempatan yang mampu menjana pendapatan jutaan ringgit serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menggalakkan semua perusahaan berkenaan untuk menyertai pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan melalui kementeriannya.
“Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) komited untuk terus membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperluas pasaran dan memperkukuh daya saing,” katanya.
Turut serta dalam lawatan itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Siti Nur’Ain Abdullah, Pengurus Besar Sabah Agro Industrial Park (SAIP) Annef Osyairi Osman, Pengarah Pejabat SME Corp. Malaysia Negeri Sabah Valentine Thomas, Presiden Majlis Perbandaran Penampang Noemi Dyena John Tren dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Penampang (PCCCI) Datuk Victor Kou.



