Puan Lahangan Lakim @ Ta’at menunjukkan produk inovasi makanan tradisional HinataTuhau yang menggabungkan kearifan tempatan masyarakat Sabah.
RANAU: Usia bukan penghalang untuk terus berkarya dan memelihara warisan budaya apabila Lahangan Lakim @ Ta’at, 79, mengetengahkan inovasi makanan tradisional HinataTuhau menerusi Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PIKB) 2026.
Meskipun hanya meraih pingat perak pada pertandingan peringkat kebangsaan itu, Lahangan berbangga kerana berpeluang memperkenalkan inovasi berasaskan budaya dan kearifan tempatan, sekali gus membuktikan bahawa pengetahuan warisan masih mempunyai potensi untuk dikembangkan dalam bidang gastronomi.
Menerajui kumpulan ARANGGOI, beliau menggunakan pengalaman hidup, kemahiran menyediakan makanan tradisional serta pengetahuan mengenai sumber makanan tempatan untuk menghasilkan HinataTuhau, produk yang menggabungkan dua tradisi kulinari masyarakat Sabah.
HinataTuhau menggabungkan hinata, yang dikaitkan dengan tradisi makanan etnik Lotud, dengan tuhau (Etlingera coccinea) yang dijeruk dan sinonim dengan masakan tradisional masyarakat Dusun, khususnya di Ranau.
Gabungan berkenaan menghasilkan produk bercirikan identiti tempatan dengan cita rasa, aroma dan tekstur tersendiri, selain memperlihatkan bagaimana kearifan turun-temurun boleh diterjemahkan kepada inovasi makanan yang berpotensi dikembangkan untuk pasaran lebih luas.
Lahangan, yang turut menerima anugerah khas Ilham Tradisi peringkat daerah Ranau, juga mempunyai pengalaman berkongsi pengetahuan mengenai makanan warisan menerusi penyertaannya dalam rancangan TV3 bertemakan Makanan Warisan Kebangsaan: Sajian Masyarakat Kadazan Dusun pada 30 Mei 2025.
Penglibatan itu mencerminkan sumbangan beliau dalam memperkenalkan pengetahuan kulinari masyarakat tempatan kepada khalayak lebih luas, di samping memastikan tradisi makanan terus dikenali dan dihargai oleh generasi akan datang.
Selain memelihara warisan budaya, inovasi seperti HinataTuhau berpotensi membuka peluang keusahawanan komuniti, meningkatkan permintaan terhadap bahan makanan tempatan serta memperluas penglibatan pengusaha kecil, khususnya di kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, usaha mengkomersialkan produk itu memerlukan penelitian lanjut, terutama dari segi keselamatan makanan, pembungkusan, penentuan jangka hayat dan pematuhan piawaian berkaitan bagi memastikan produk sesuai dipasarkan.
Pembangunan produk makanan warisan secara sistematik juga berpotensi memperkaya pengalaman pelancongan budaya Sabah dengan memperkenalkan kepelbagaian cita rasa tempatan kepada pengunjung domestik dan antarabangsa.
Usaha seumpama itu selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi dan pemanfaatan potensi sumber tempatan.



