Kong membuat tinjauan kerosakan jalan raya di Jalan Ranau-Telupid
RANAU: Keadaan jalan raya utama menghubungkan beberapa daerah di Sabah semakin membimbangkan dan bahaya kepada pengguna.
Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi menjelaskan perkara itu berkata, kerosakan pada permukaan jalan raya utama dibeberapa lokasi sangat bahaya kepada pengguna dan perlu pembaikan yang berkualiti.
Katanya, dakwaan beberapa pengguna yang memberikan gelaran-gelaran negatif tentang kerosakan jalan raya di Sabah bukan suatu lawak jenaka bahkan ia menggambarkan kemarahan mereka yang boleh diterjemahkan kepada imej kementerian berkenaan.
“Pelbagai gelaran negatif dilemparkan pengguna yang marah dengan kerosakan jalan raya. Ada yang menggelarkan jalan seperti di bulan, jalan raya periuk api dan bermacam lagi khasnya di media sosial”. Tegasnya ketika membuat tinjauan disekitar jalan Ranau-Telupid pada Selasa.
Kong turut menambah, pihak konsesi yang dilantik seharusnya bersiap sedia di lokasi-lokasi sesuai khasnya ketika keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Keadaan jalan raya rosak yang membahayakan pengguna.
Tegasnya, kesiapsiagaan kakitangan penyelenggaraan daripada syarikat konsesi yang dilantik sekurang-kurangnya boleh segera memperbaiki kerosakan jalan yang boleh mengakibatkan kemalangan kenderaan pengguna.
“Keadaan cuaca yang sering hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan banyak berlaku kerosakan jalan dan membentuk lubang yang dalam pada permukaan jalan raya. Ada aduan pengguna mengalami pecah tayar dan rim kenderaan mereka”. Jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap jabatan berkenaan yang ditugaskan untuk menjaga jalan-jalan utama kerap turun padang dan membuat penilaian tentang skop pembaikan yang dijalankan syarikat konsesi.
Tinjauan ke beberapa lokasi jalan raya yang mengalami kerosakan disekitar laluan menuju ke Pekan Ranau mendapati kenderaan bergerak perlahan bagi mengelak terlanggar lubang dijalan raya yang rosak.
Keadaan itu sekaligus menyumbang kepada kesesakan lalulintas yang bermula daripada bulatan Pekan Ranau sehinggalah menuju ke persimpangan Kg.Lohan seterusnya menghala ke Jalan Telupid.