30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KDN teliti pemberian kad pengenalan kepada penerima vaksin di Sabah, Sarawak.

Ismail berkata kementerian telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Status Warganegara Peringkat Negeri Sarawak untuk meneliti urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah di negeri itu. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbang untuk memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sarawak dan Sabah, termasuk dalam kalangan orang asal, yang masih belum memiliki identiti diri, jika memenuhi kelayakan.

Timbalannya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kementerian telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Status Warganegara Peringkat Negeri Sarawak untuk meneliti urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah di negeri itu.Manakala bagi negeri Sabah, ia dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS).

“Kita harap kerjasama ini dapat kita teruskan bagi memastikan semua individu yang diberitahu oleh Yang Berhormat dapat diberikan identiti mereka dan kita telah tukarkan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan pada 2015 kepada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di mana ‘mobile‘ kita akan turun ke pedalaman.

“Kita juga mengalu-alukan kementerian lain untuk memberikan data,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS – Sibuti) mengenai langkah kementerian pada masa depan untuk mengesan, dan jangka masa untuk populasi berkenaan diberikan hak kewarganeraan.

Jelas beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, masih ramai orang asal di Sarawak dan Sabah yang masih tidak mempunyai pengenalan diri.

Sebelum itu, Lukanisman turut minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah tindakan proaktif kerajaan terhadap maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri terutama sekali di Sarawak dan adakah Kerajaan akan mengambil tindakan mengenai isu individu tanpa pengenalan diri.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa mengambil inisiatif dan langkah proaktif dalam memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman melalui inisiatif Mekar.

“Antara inisiatif tambahan yang sering dilaksanakan oleh Kementerian ini adalah pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan seperti OP Patuh untuk mengawal dan menilai pematuhan masyarakat terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semasa pemeriksaan OP Patuh, kementerian ini sentiasa menasihatkan semua pihak terutamanya majikan untuk memastikan setiap pekerja yang digajikan adalah mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

“Majikan turut dinasihatkan supaya meregularisasikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk memastikan semua pekerja adalah berdokumen dan mendapat akses kepada vaksinasi COVID-19,” katanya.

Program Mekar adalah satu program yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran Kad Pengenalan, Kelahiran, dan Kematian serta memberikan taklimat berkaitan kepentingan dokumen pengenalan diri. -AWANI

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN