24 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kawasan bekas Lombong Tembaga Mamut dijangka dibangunkan bagi tujuan eko-pelancongan mampan: Jafry

Maklarin bersama rombongan meninjau lokasi tasik bekas lombong tembaga Mamut.

RANAU: Kawasan bekas Lombong Tembaga Mamut dijangka dibangunkan bagi tujuan eko-pelancongan mampan di daerah ini kelak.
Tarikan pelancongan di kawasan sekitar akan memberi impak kepada industri ekonomi lain yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat sekitar di Daerah Ranau dan termasuk Negeri Sabah amnya.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Hj Ariffin berkata Sabah Parks sebagai agensi di bawah kementerian itu akan bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk masyarakat sekitar dalam pembangunan industri pelancongan di sini agar manfaatnya dapat dikongsi bersama.


“Antara lain yang boleh dilaksanakan adalah seperti pembinaan muzium lombong tembaga sebagai sebahagian daripada program pendidikan dan memperingati geo-warisan yang terdapat di sana; dan juga pembinaan denai untuk tujuan rekreasi dan program penyelidikan,” katanya.


Menurut Jafry, kementeriannya juga sedang mengenal pasti laluan baharu yang berpotensi untuk dibangunkan ke puncak Gunung Kinabalu dari kawasan ini melalui Eastern Ridge sebagai produk pelancongan baharu.


Jafry berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Ekspedisi Saintifik Mamut 2022, Taman Kinabalu yang diadakan di tapak bekas Lombong Tembaga Mamut pada Khamis.


Selain itu, katanya, kawasan itu berpotensi untuk membangunkan pusat penyelidikan dan pendidikan Taman yang baharu dan moden.


“Antara program yang boleh dilaksanakan adalah bertujuan untuk penyelidikan jangka panjang mengenai pemulihan kawasan bekas lombong dan pemuliharaan ex-situ spesies endemik.


“Ini akan membuka peluang kepada negeri Sabah untuk menjalinkan kerjasama dengan pakar daripada institusi penyelidikan tempatan mahupun luar negara,” jelasnya.


Turut hadir, Adun, Datuk Amisah Yassin, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Peter Lintar, Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Hj Lakim, dan Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani, antara lain.
TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN