27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, April 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kawalan, Pencegahan Penyakit Rabies Perlu Dipertingkatkan – Jeffrey

Jeffrey (rengah) menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil agensi yang terlibat.

KOTA KINABALU:  Kawalan dan pencegahan penyakit Rabies perlu dipertingkatkan di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Jeffrey G. Kitingan.


Menurut beliau, langkah tersebut penting dalam usaha kerajaan mengekang kemasukan penyakit bawaan haiwan tersebut masuk ke Sabah.


“Sabah telah berjaya bebas daripada penyakit Rabies sejak tahun 1881, namun begitu Rabies ini adalah penyakit yang berbahaya yang boleh dibawa melalui gigitan anjing dan kucing, jadi kita tidak boleh berbangga dengan rekod kita kerana di sekeliling kita masih lagi mempunyai penyakit Rabies aktif seperti di Sarawak dan Indonesia.


“Pelaksanaan program kawalan penyakit ini perlu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan kita perlu lebih cekap dan peka dalam memastikan penyakit ini tidak memasuki negeri Sabah.


“Kawalan import bagi anjing dan kucing terutamanya daripada negeri atau negara yang aktif dengan penyakit ini perlu mengikut piawaian antarabangsa dan program-program vaksinasi bagi haiwan pembawa rabies (HPR) serta manusia juga merupakan fokus utama dalam memastikan objektif kita tercapai.


“Saya mengambil maklum akan kekangan yang dihadapi oleh anggota-anggota di jabatan dari segi tenaga kerja, logistik dan juga bentuk geografi negeri Sabah dalam menjalankan pemantauan penyakit dan juga program-program lain yang melibatkan pencegahan penyakit haiwan. 


“Oleh itu, kerjasama pintar (smart partnership) di bawah konsep One Health perlu dipertingkatkan bagi mencapai hasil yang optimum dan saya juga percaya bahawa hubungan yang erat dan kerjasama yang padu antara jabatan dan agensi-~agensi yang lain merupakan semangat yang kita perlukan dalam menjayakan setiap program yang akan dilaksanakan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Latihan Simulasi Penyakit Rabies Negeri Sabah Tahun 2024 di Wisma Pertanian dekat sini, pada Khamis.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Peto Galim; Setiausaha Tetap kementerian  Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Mary Josephine S. Golingai.


Latihan simulasi yang diadakan selama tiga hari itu disertai 150 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai langkah pencegahan dan juga tindakan yang perlu diambil sekiranya penyakit Rabies masuk ke negeri ini -PENERANGAN-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN