31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kawalan di pintu masuk diperketatkan bagi mengekang penyeludupan haiwan: James Ratib

James meninjau kawasan Tapak Tanah seluas empat ekar di Pulau Banggi bagi cadangan pembinaan Pusat Kuarantin Jabatan Vaterinar Negeri Sabah

KUDAT: Penguatkuasa Jabatan Veterinar Kementerian Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah akan terus memperketatkan kawalan disekitar pintu masuk wilayah Kudat bagi mengekang aktiviti penyeludupan haiwan yang berisiko membawa penyakit eksotik ke negeri ini.

Menegaskan perkara itu, Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, penguatkuasaan ketat amat penting bagi mengekang kemasukan haiwan yang diseludup dari negara jiran untuk mengelak risiko penyakit berjangkit seperti penyakit kuku dan mulut.

“Kawalan di pos-pos sempadan khasnya di Pulau Banggi akan terus dipertingkatkan oleh pihak penguatkuasa Jabatan Vaterinar. Kita bimbang kemasukan haiwan yang diseludup dari negara jiran boleh merisikokan ternakan di negeri ini dengan penyakit eksotik seperti kuku dan mulut”. Tegasnya ketika melakukan lawatan kerja ke Pulau Banggi pada Khamis.

Dalam pada itu, James juga menegaskan kementeriannya bukan sahaja memantau pos-pos sempadan malah akan berkerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti pihak PDRM, Esscom dan Kastam bagi memantau lorong tikus yang dijadikan laluan penyeludup membawa masuk haiwan menerusi Pulau Banggi seterusnya ke tanah besar negeri Sabah.

Tegasnya, beberapa kawasan berhampiran Pulau Banggi yang berisiko menjadi pendaratan haiwan tanpa lesen seperti Pulau Balambangan, Pulau Mangsi, Pulau Malawi dan Persisiran Pantai Damaran perlu kawalan ketat agensi penguatkuasa Vaterinar dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain agar aktiviti tersebut dapat dihalang.

James bersama kakitangan Jabatan Vaterinar Negeri Sabah dalam lawatan ke Pulau Banggi.

“Penyakit bawaan haiwan yang diseludup membawa risiko dan kesan buruk keatas industri ternakan di negeri Sabah. Justeru, kerjasama semua pihak amat penting bagi menjaga kualiti dan produktiviti ternakan dalam negeri kita”. Katanya.

James turut menjelaskan, menjelang perayaan Hari Raya Korban, pihaknya akan mempergiatkan lagi operasi membenteras penyeludupan haiwan di kesemua pintu sempadan dengan menempatkan kakitangan penguatkuasaan Jabatan Vaterinar.

Katanya, para pengguna tidak perlu bimbang dengan kualiti ternakan dari negeri ini kerana pihaknya akan mempastikan binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing terus dipantau rapi tahap kesihatannya sebelum dipasarkan kepada pengguna khusus bagi keperluan umat Islam menjelang Hari Raya Korban akan datang.

Dalam lawatan itu, James turut mencadangkan agar sebuah Pusat Kuarantin dibina di Pulau Banggi bagi keperluan Bahagian Penguatkuasa Vaterinar dimana sebidang tanah seluas empat ekar telahpun dikenalpasti.

Jelasnya, beliau akan membawa perkara itu ke pengetahuan Menteri dan Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur Negeri Sabah untuk proses kelulusan bagi melancarkan tugas-tugas Penguatkuasaan Jabatan Vaterinar Negeri Sabah di pulau berkenaan.

Dalam masa sama, beliau juga akan mempastikan penambahan kakitangan penguatkuasa vaterinar di Pulau Banggi dilakukan dalam masa terdekat kerana ketika ini hanya terdapat tiga orang kakitangan sahaja bertugas di pulau tersebut.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Dr. Hjh Normah Yusop, Pengarah Vaterinar Negeri Sabah, Francis Palikat, Ketua Penguatkuasa veterinar, Dr.Loren Adam, Pegawai Penguatkuasa Vaterinar, Dr. Nur Hasreena Nadia Ahlun, Ketua Seksyen Kuarantin dan Import Eksport , Noorsyakilah binti Mohamud, Pegawai veterinar Wilayah Kudat serta pegawai-pegawai Vaterinar dari Kementerian Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN