29 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 22, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Kastam Labuan sita 55 kenderaan pelbagai jenis ingkar patuhi Perintah Duti Kastam (Pengecualian)2017

Aspalila menunjukkan salah sebuah kenderaan yang berjaya disita.

LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Labuan menyita 55 unit kenderaan pelbagai jenis termasuk kereta mewah kerana ingkar mematuhi Butiran 14 Perintah Duti Kastam ( Pengecualian) 2017.

Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag. Tuah berkata jumlah kesemua kenderaan yang disita mencatatkan nilai rampasan berjumlah lebih RM7. 1 juta (termasuk cukai).

Beliau berkata Pasukan Operasi Penguatkuasaa JKDM Labuan menyita kenderaan tersebut melalui beberapa siri operasi yang dijalankan di Sabah dan Sarawak.

“Kenderaan berkenaan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) dengan menggunakan kemudahan di bawah Butiran14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, namun kenderaan-kenderaan tersebut tidak kembali ke Pulau Bebas Cukai selepas tamat tempoh”, katanya pada sidang media yang diadakan di sini, pada Isnin.

Aspalila berkata, operasi tersebut dijalankan bagi mengesan pemilik kenderaan yang telah melanggar syarat-syarat di bawah Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

Jelasnya, semua kenderaan berkenaan yang kini di simpan di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Labuan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Antara jenis kenderaan mewah yang berjaya disita sepanjang tahun ini termasuk Toyota Vellfire, Land Rover, BMW, Mercedes Benz, Farari dan Toyota Alphard. Manakala jenis lain Toyota Vios, Toyota Avanza, Mitsubishi Lancer, Mitsubishi ASX, Honda Civic, Honda City dan Toyota Pajero Sport serta beberapa jenis kereta lain.

Tambah beliau, kenderaan yang dibeli di Pulau Bebas Cukai Langkawi dan Labuan dibenarkan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tidak lebih 90 hari dalam setahun.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN