Minuman keras pelbagai jenama yang disorok dalam kenderaan yang telah diubah suai.
LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM134,156.48
dalam satu operasi di Terminal Feri Kenderaan, minggu lalu.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, Aspalila Ag Tuah dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut dijalankan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan bersama Pasukan Cawangan Pemeriksaan Penumpang terminal berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sedang menunggu giliran untuk berlepas ke Menumbok, Sabah menggunakan feri RORO.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 72.5 liter minuman keras pelbagai jenama disorokkan di bahagian bawah bonet belakang kenderaan yang diubah suai yang dipercayai cuba dibawa keluar dari Kawasan Utama Kastam (KUK) Labuan tanpa pengikraran,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan terbabit bersama barang kes dirampas sebelum diserahkan kepada Unit Siasatan, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Labuan untuk tindakan lanjut.
Turut ditahan dalam operasi itu dua orang yang disyaki (OYDS) untuk siasatan lanjut.
Aspalila berkata, modus operandi dengan menyembunyikan minuman keras di ruang bawah bonet kenderaan yang diubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih tinggi.
Kesalahan yang dilakukan juga turut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Aspalila berkata, aktiviti penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara malah turut memberi ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.



