RANAU: Mantan Menteri Tanah Dan Pembangunan Koperasi Malaysia, Tan Sri Haji Kasitah Gaddam dan mantan Pembantu Eksekutif kepada Pengarah Yayasan Sabah, Datin Dr.Lungkiam Dambul, masing-masing menerima anugerah ‘Lundu Nabalu’, Graduan Pertama Ranau.
Kasitah yang dilahirkan pada 18 Oktober 1941 di Kampung Tagudon Lama telah menerima pendidikan awal (Darjah 1) pada tahun 1955 di Native Voluntary School (NVS) Togudon Lama, Ranau dan berpindah ke SK Ratau, Ranau pada tahun 1956-1960 (Darjah 2 – Darjah 6).

Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah, Kota Kinabalu pada tahun 1961 hingga 1965 dan Tingkatan 6 Bawah hingga Tingkatan 6 Atas dari tahun 1966-1967, juga di Maktab Sabah.
Pada tahun 1967, beliau telah menjejakkan kaki ke University of Malaya dalam jurusan Bachelor of Arts, Malay Studies and Malaysian Rural Economy dan menjadi graduan pada tahun 1970.
Kasitah telah memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengarah, Pejabat Imigresen Tawau, Sabah dari tahun 1972 hingga 1976. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Sabah Land Development Board (SLDB) sebelum dilantik Menteri Tanah Dan Pembangunan Koperasi Malaysia dari 1999-2003.

Manakala penerima ‘Lundu Nabalu’ Graduan Pertama Wanita Ranau telah dianugerahkan kepada Datin Dr.Lungkiam Dambul, yang dilahirkan pada 1951 di Kampung Bundu Tuhan, Ranau.
Isteri kepada mantan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Dr.Othman Minuddin itu telah menerima pendidikan awal pada tahun 1959 hingga 1962 (Darjah 1 – Darjah 6) di Sekolah Sukarela Rakyat, Kundasang.
Tamat Darjah 6, beliau melangkah ke sekolah menengah di Government Junior Secondary School Ranau (Bridge 1-2) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Sabah College, Kota Kinabalu dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 Atas.
Pada tahun 1975, beliau telah menerima segulung Ijazah dari University of Malaya dalam jurusan Bachelor of Arts (Honours) Geography. Selain itu, pada tahun 1977, Dr.Lungkiam juga telah memperolehi Diploma Pendidikan Bahasa Malaysia dan Geografi, University of Malaya.
Tanpa mengenal penat dan putus asa disamping berbekalkan semangat kental, beliau terus melanjutkan pengajian sehinggalah pada tahun 1981, beliau memperolehi Master of Education, Southern Illiois University Carbondale, States sebelum memperolehi Doctor of Philosophy (Education), juga di Southern Illiois University Carbondale, United States
Dr.Lungkiam memulakan kerjayanya bermula tahun 1978-1979 sebagai seorang pendidik di SMK Mat Salleh Ranau sebelum menjawat jawatan sebagai Pegurus Kumpulan Yayasan Sabah dari tahun 1988 – 1989, dan Pembantu Eksekutif kepada Pengarah Yayasan Sabah dari tahun 1996 – 2002.
Pada majlis itu, Kasitah ditemani isteri, Puan Sri Hajah Rosnie Ambuting, manakala Lungkiam ditemani suami, Datuk Dr.Othman Minuddin.

Malam Mesra Graduan Ranau Bersama Ketua Menteri Sabah pada Sabtu lalu turut melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan sebahagian besar graduan terawal di daerah ini bermula tahun 1970 hingga tahun 1979.
Antara graduan terawal Ranau yang hadir, Chong Poh Ming @ Som It, Haji Ramli Amir, Datuk Abidin Madingkir, Markos Siton, Datuk Dr.Ewon Ebin, Hajah Hamimah Arifin, Haji Wasimin Daiman dan Prof.Madya Dr.Markus Atong.
Mereka yang hadir telah menerima Apresiasi yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. Manakala Anugerah Lundu Nabalu, Graduan Pertama Ranau dan Graduan Pertama Wanita Ranau telah disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong, mewakili Ketua Menteri Sabah.
Sementara itu, rata-rata mereka yang ditemui rasa terharu serta menzahirkan penghargaan dan terima kasih khusunya kepada Persatuan Graduan Ranau, Kelab Semangat Ranau No.1 dan Pejabat Daerah Ranau atas usaha menganjurkan majlis tersebut.
Mereka juga berharap agar penganjuran seumpamanya akan diteruskan pada masa akan datang kerana Ranau merupakan antara daerah yang melahirkan ramai graduan di negeri Sabah.
Untuk rekod, lebih 450 orang graduan hadir pada majlis tersebut yang berlangsung meriah di Dewan Kompleks Sukan Ranau.-TAMAT-
