ADVERTISEMENTspot_img

KARNIVAL SUKAN ANTARA MUKIM PENAMPANG SEMARAK SEMANGAT PERPADUAN HARI MALAYSIA

PENAMPANG: Karnival Sukan Antara Mukim Penampang 2026 yang menghimpunkan lebih 1,000 atlet daripada sembilan mukim berlangsung meriah, sekali gus menjadi platform memperkukuh semangat perpaduan dan kerjasama masyarakat sempena sambutan Hari Malaysia.

Karnival yang berlangsung di Kompleks Renang Penampang itu dirasmikan oleh ADUN Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin dan mempertandingkan pelbagai acara sukan termasuk tarik tali, sepak takraw, melastik, futsal, arm wrestling, Mobile Legends dan bola keranjang.

Pengerusi penganjur Billy Joe Dominic berkata penganjuran karnival berkenaan bertujuan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai mukim dalam suasana kesukanan, persahabatan dan kebersamaan.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi menyemarakkan semangat perpaduan yang menjadi antara asas pembentukan Malaysia 63 tahun lalu.
“Melalui sukan, kita mahu semua warga Penampang daripada pelbagai mukim berkumpul, berkenalan, bekerjasama dan membina hubungan yang lebih erat.

“Semangat perpaduan dan kerjasama inilah yang kita mahu teruskan, bukan sahaja dalam sukan tetapi dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Mukim 7 muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 73 mata hasil 15 emas, 11 perak dan enam gangsa.

Mukim 6 menduduki tempat kedua dengan 53 mata menerusi lapan emas, 12 perak dan lima gangsa, manakala Mukim 3 di tempat ketiga dengan 31 mata selepas meraih lima emas, empat perak dan lapan gangsa.

Mukim 4 pula dinobatkan sebagai Juara Sorak-Sorai.

Dalam acara tarik tali, Mukim 5 muncul juara diikuti Mukim 1 dan Mukim 6, manakala Mukim 1 menjuarai sepak takraw dengan Mukim 6 di tempat kedua dan Mukim 5 ketiga.

Acara melastik lelaki menyaksikan Reeven dari Mukim 7 muncul juara, diikuti George Chin (Mukim 3) dan Charles Atan (Mukim 5), manakala kategori wanita dimenangi Stepffi Juis (Mukim 7), diikuti Evanny Abas (Mukim 9) dan Magdelina (Mukim 7).

Bagi futsal, Mukim 8 muncul juara, diikuti Mukim 3 dan Mukim 2.
Acara arm wrestling wanita dimenangi Nezira Petrus Lojuyo dari Mukim 5, manakala Patricia Sipotik (Mukim 1) dan Anita Joseph (Mukim 7) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kategori lelaki pula menyaksikan Calveen Petrus dari Mukim 3 muncul juara, diikuti Joierino Sobeh (Mukim 1) dan Dave Marvin (Mukim 4).

Dalam Mobile Legends, Mukim 2 muncul juara, manakala Mukim 1 dan Mukim 7 masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Mukim 8 turut cemerlang dalam bola keranjang apabila muncul juara, diikuti Mukim 7 dan Mukim 9.

Dalam ucapan perasmian, Donald menyeru masyarakat Penampang supaya terus memelihara semangat perpaduan yang ditunjukkan sepanjang karnival, selain tidak melupakan sejarah pembentukan Malaysia serta menghargai perjuangan generasi terdahulu.

Beliau turut berkata akan terus bersama UPKO memperjuangkan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi kepentingan Sabah.

Donald turut menyambut baik penganjuran karnival berkenaan dan berharap ia dapat dijadikan acara tahunan sebagai platform mengeratkan hubungan masyarakat daripada sembilan mukim melalui aktiviti sukan.

Karnival itu turut menyaksikan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, dengan sukan dijadikan medium memperkukuh hubungan antara komuniti.

Penganjur merakamkan penghargaan kepada semua atlet, kontinjen mukim, urus setia, sukarelawan, penyokong serta pihak yang menjayakan Karnival Sukan Antara Mukim Penampang 2026.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN