Dr Wong, Dr. Flecia, Dr. Madwin dan lain-lain dalam program itu di sini pada Sabtu
RANAU: Lebih 150 orang belia di sekitar daerah ini hadir mejayakan Karnival Remaja 2025 yang diadakan di Dewan SMK Lohan pada hari Sabtu.
Program bertemakan “Remaja Madani Harapan Bangsa” ini merupakan karnival remaja pertama yang dianjurkan di komuniti Lohan dengan kerjasama seluruh warga kesihatan Klinik Kesihatan Lohan.
Majlis yang dirasmikan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Ranau, Dr. Wong Yoke Kong itu bertujuan menyediakan medan hiburan, pertemuan serta platform untuk membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak mulia dan bersemangat waja.
Fokus utama turut diberikan kepada isu buli dalam kalangan pelajar, sejajar dengan usaha meningkatkan kesedaran dan membanteras gejala tersebut.
Antara penceramah jemputan ialah Inspektor Addretson Jublek dari Unit Siasatan Jenayah IPD Ranau yang menyampaikan ceramah bertajuk “Buli di Kalangan Pelajar”.
Selain itu, para peserta juga disajikan dengan bual bicara bersama Halisah binti Baharudin dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan tajuk “Kenali Hak Anda Sebagai Remaja dan Peranan Pegawai Pelindung”.
Pelbagai agensi turut serta membuka booth pameran, antaranya Unit Pendermaan Organ dan Unit Pendermaan Darah Hospital Ranau, Unit Fisioterapi dan Unit Pemakanan PKD Ranau, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau, serta Unit Pergigian Hospital Ranau.
Booth-booth tersebut mendapat sambutan hangat kerana menyediakan maklumat berguna kepada para remaja mengenai kesihatan, pencegahan dadah dan gaya hidup sihat.
Pakar Perubatan Keluarga dari Klinik Kesihatan (KK) Lohan, Dr. Flecia Kundayis, yang juga merupakan Penasihat Program, menyatakan bahawa karnival ini diharap menjadi titik permulaan dalam usaha melahirkan generasi belia yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
Sementara itu, Pegawai Perubatan KK Lohan merangkap Pengerusi Program, Dr. Madwin bin Madari turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan acara tersebut.
Karnival yang dipenuhi dengan aktiviti menarik seperti sesi pembelajaran interaktif, permainan dan hadiah ini berjaya menghimpunkan para remaja setempat, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti.
Dr. Wong dalam ucapannya mengatakan bahawa inisiatif ini sekaligus menjadi landasan penting dalam membina remaja sebagai aset negara pada masa hadapan.



