KARNIVAL GRASSROOT RYFC 2025 berlangsung dengan jayanya
RANAU: Karnival Grassroot RYFC 2025 yang dianjurkan oleh Kelab RYFC Ranau telah melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan dan semangat kesukanan yang tinggi.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini iaitu pada 1 dan 2 Februari, menyaksikan 20 pasukan bertanding dalam tiga kategori umur, iaitu Bawah 8 Tahun (U8), Bawah 10 Tahun (U10), dan Bawah 12 Tahun (U12).
Kejohanan ini turut menerima penyertaan pasukan dari luar daerah Ranau seperti Keningau, Kota Marudu, Kota Belud, Sandakan, Kota Kinabalu, Beaufort, dan Labuan, menjadikannya sebagai platform terbaik untuk memperkembangkan bakat muda bola sepak dari pelbagai kawasan.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Datuk Hj Junaidi Hj Sahat, yang dalam ucapannya menyatakan rasa gembira dan sokongan penuh terhadap kejohanan seperti ini kerana bola sepak sememangnya sukan kegemaran beliau sejak kecil.
Beliau turut memuji Kelab RYFC atas penganjuran yang berjaya dan menggalakkan lebih banyak kejohanan seumpama ini untuk terus membangun dan mencungkil bakat muda bukan sahaja di daerah Ranau tetapi juga di daerah-daerah lain.
Selain itu, Junaidi juga menekankan bahawa kehadiran pasukan luar daerah telah memberi impak positif kepada ekonomi Ranau.
Walaupun cuaca kurang mengizinkan, beliau kagum dengan semangat juang para pemain yang tetap meneruskan perlawanan hingga ke penghujungnya.
Pengerusi Pengelola Karnival, Sylviana Viana Saiki atau lebih dikenali sebagai Coach Lady, turut menyuarakan rasa bangganya dengan penyertaan pasukan dari luar Ranau.
“Karnival ini bukan hanya membangunkan bakat-bakat muda tetapi juga menyemai nilai-nilai murni dalam diri mereka seperti semangat kesukanan, kerjasama, dan disiplin,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan karnival ini, termasuk para penyumbang serta ibu bapa yang sentiasa menyokong anak-anak mereka dalam sukan bola sepak, kerana merekalah tulang belakang kepada kejayaan anak-anak.

Johan U10 – Anak Badak (Kota Kinabalu)
“Karnival ini adalah program pertama Kelab RYFC sejak penubuhan pada November 2024. Ini bukanlah permulaan dan pastinya lebih banyak kejohanan dan karnival akan dianjurkan kelab pada masa akan datang,” tambah beliau.
Bagi kategori Bawah 8 Tahun (U8), pasukan Kundasang FT telah menunjukkan kehebatan mereka di atas padang dengan menjuarai kategori ini.
Pasukan KB Warrior A dari Kota Belud memberikan saingan sengit dan berpuas hati di tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik Fariz Football Academy (FFA).
Pemain Kundasang FT berjaya muncul sebagai penjaring terbanyak dalam kategori ini, sementara pemain dari pasukan Ex-Paiwen (Ranau) diiktiraf sebagai pertahanan terbaik.
Pemain KB Warrior A dari Kota Belud pula berjaya membawa pulang gelaran pemain terbaik kategori ini.
Dalam kategori Bawah 10 Tahun (U10), kehebatan pasukan Anak Badak dari Kota Kinabalu tidak dapat disangkal lagi apabila mereka dinobatkan sebagai juara.
Pasukan Superkids dari Beaufort memberikan saingan yang hebat dan berjaya meraih tempat kedua, sementara Kundasang FT menamatkan saingan di tempat ketiga.
Seorang pemain dari pasukan Anak Badak muncul sebagai penjaring terbanyak, manakala pemain dari Kundasang FT diiktiraf sebagai pemain terbaik.
Sementara itu, penjaga gol terbaik dalam kategori ini diberikan kepada pemain dari pasukan Superkids.
Bagi kategori Bawah 12 Tahun (U12), pasukan Kampungan FC dari Kota Marudu membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya meraih gelaran juara.
Pasukan Talawa FC dari Kota Belud pula berjaya menduduki tempat kedua selepas memberikan persaingan yang sengit.
Tempat ketiga pula menjadi rebutan sengit antara Kinabalu United FT dan Sepadu FT dari Ranau, yang akhirnya menyaksikan Kinabalu United FT menang menerusi tendangan penalti.
Pemain Kampungan FC menunjukkan prestasi cemerlang apabila bukan sahaja dinobatkan sebagai pemain terbaik tetapi juga sebagai penjaring terbanyak dalam kategori ini.
Manakala gelaran penjaga gol terbaik diberikan kepada pemain dari Talawa FC.
Selain itu, penghormatan khas turut diberikan kepada Coach Suzri dari pasukan Sepadu FT, yang diiktiraf sebagai jurulatih terbaik sepanjang kejohanan ini.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi pentas bagi bakat muda untuk menyerlah tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan antara pasukan dari pelbagai daerah.
Diharapkan kejayaan penganjuran ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejohanan pada masa hadapan, sekaligus mengangkat martabat bola sepak akar umbi di Sabah.



