25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Disember 2, 2023
ADVERTISEMENTspot_img

Karnival Bahasa Perpaduan melonjak keterampilan peranan IPG

Puan Anis, Dr. Hamidah dan Datuk Philip melawat pameran Jabatan BKD

TUARAN: Program Karnival Bahasa Perpaduan Kent mampu menjadi pemangkin kearah pelestarian akan keterampilan peranan Institut Pendidikan Guru.

Pengarah Cemerlang Utama C Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Tun Abdul Razak, Sarawak, Anis Alisya Binti Abdullah berkata, program itu memperkasa peranan IPGK Kent sebagai ikon peneraju keunggulan pendidikan bahasa-bahasa etnik di Malaysia.

“Masyarakat pluraliti di negara ini membawa bersama-sama perbezaan kehendak dan kemahuan demi menjaga kepentingan kaum masing-masing.

“Perbezaan ini bukannya bertujuan untuk memecahbelahkan kita, sebaliknya menjadi satu kekuatan untuk sama-sama membangunkan negara yang tercinta ini.

“Dalam hal ini, sebagai sebuah institusi penting dalam melahirkan bakal-bakal guru, maka pendedahan akan kemajmukan ras dalam kalangan kita harus sentiasa terus dibugarkan,” kata beliau.

Menurut Anis, ini merupakan satu keperluan untuk menelusuri ‘pandangan sarwa’ (worldview) masyarakat, saling mengenal akan adat, budaya dan amalan rakan-rakan serta masyarakat sekitar.

Dari Kiri: Linah Bagu, Hj. Harun , Datuk Philip, Puan Anis Alisya, Dr. Hamidah, Dr. Gerturude dan Tuan Doti Asing

Dari Kiri: Linah Bagu, Hj. Harun , Datuk Philip, Puan Anis Alisya, Dr. Hamidah, Dr. Gerturude dan Tuan Doti Asing

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Karnival Bahasa Perpaduan Kent 2023 yang diadakan di Dewan Serbaguna IPGK Kent, Tuaran pada hari Jumaat.

Karnival tersebut berlangsung sepanjang bulan Mac, dan pelbagai aktiviti telah, sedang dan akan berlangsung melibatkan 5 bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa KadazanDusun, bahasa Arab dan bahasa Cina.

“Ini merupakan manifestasi hasil sinergi beberapa jabatan dan Unit yang bukannya satu tugas mudah, tetapi telah melalui proses perancangan, perbincangan, perkongsian idea dan komitmen daripada semua pihak.

“Usaha proaktif IPGK Kent dalam mengangkat nilai bahasa sebagai lambang perpaduan adalah suatu inisiatif strategik dalam kerencaman negara kita.

“Kolektiviti komitmen semua pihak dalam merekayasa gagasan akan mampu menterjemahkan hasrat yang murni ini,” kata beliau.

Anis percaya apresiasi terhadap bahasa ini secara tidak langsung adalah representasi semua pihak terhadap budaya dan tamadun peradaban bangsa dan negara.

“Justeru, hal ini amat bertepatan sebagaimana iltizam kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Dato Seri Anwar bin Ibrahim apabila memperkenalkan Konsep Malaysia Madani,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah IPGK Kent Tuaran, Sabah, Dr. Hamidah binti Samsuddin berkata, program itu merupakan cetusan idea daripada perancangan tahunan IPG itu untuk menyelaraskan program setiap jabatan.

“Hasil daripada perbincangan yang diadakan, maka timbulah idea untuk menjadikan bulan Mac 2023 ini sebagai Bulan Bahasa, yang akhirnya dinamakan sebagai Karnival Bahasa Perpaduan Kent.

“Inisiatif ini merupakan suatu usaha kolaboratif antara Jabatan dan Unit Bahasa, IPGK Kent sebagai lambang apresiasi terhadap bahasa untuk memacu dan mengangkat bahasa sebagai medium perantara.

“Sehubungan itu, keterampilan berbahasa dalam kalangan pelajar turut dicungkil dan diperkasakan, terutama kecekapan melontarkan idea menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan,” kata beliau.

Pengisian aktiviti setiap Jabatan berbeza-beza mengikut Perancangan masing-masing misalnya, Jabatan Bahasa Kadazandusun menganjurkan pertandingan menulis cerita (tangon) dan bercerita (Manangon), Wiki GAP bersama-sama Wikipedia Community User Group yang memuatkan artikel tentang tokoh-tokoh wanita, bengkel peristilahan dan kosa kata Bersama Dr. Mark Miller dari Summer Institute Linguistic Malaysia, Ihumo oku (Treasure Hunt) dan Perkongsian Inovasi Terbaik daripada Dr. Sirhajwan Idek.

Dalam program itu, semua Tetamu Kehormat turut melawat Galeri Bahasa Kadazandusun bersama-sama Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Unit IPG Kampus Kent sebelum majlis Perasmian Karnival bermula.

Majlis Penutupan Karnival Bahasa Perpaduan Kent Tahun 2023 bakal diadakan pada 31 Mac 2023.

Turut hadir, Penasihat Kadazandusun Language Foundation (KLF), Datuk Philip Lasimbang, Pengarah IPGK Gaya Kota Kinabalu, Dr. Gerturude Jock, Pengarah IPGK Keningau, Doti bin Asing, Timbalan Pengarah IPGK Kent, Hj Harun bin Hj Sarail, Ketua Jabatan Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGK Kent, Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah, perwakilan daripada Kadazan Sabah Society (KSS), dan United Sabah Dusun Association (USDA), dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN