HADIAH….. Awangku Sazali (dua kiri) bersama rakanya Ansiran Jamal (kiri sekali), Kamarul Iqhwan dan Ramidah Rahim bersama hadiah yang dimenangi.
LABUAN: Kampung Lubok Termiang sekali lagi mengharumkan nama Labuan dipersada peringkat kebangsaan apabila berjaya meraih naib johan Anugerah Ilham Desa (AID) 2020 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dengan kemenangan itu, Kampung Lubok Temiang membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta piala dan sijil.
AID 2020 yang dianjurkan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) merupakan kemuncak pertandingan melibatkan kampung-kampung yang pernah juara anugerah AID sejak tahun 2000 hingga 2015.
Pertandingan kali ini menyaksikan enam buah kampung iaitu Kg. Long Bedian Marudi Sarawak (Juara 2001), Kg. batu Puteh Kinabatangan Sabah (Juara 2003), Kg. Sinisian Kundasang Sabah (Juara 2007), Kg. Kilim di Langkawi Kedah (Juara 2009), Kg. Lubok Temiang Labuan (Juara 2011) dan Kg. Peruas Raub Pahang (Juara 2013).
Bagi Kg. Lubok Temiang, bertemakan “Komuniti Kreatif, Desa Inovatif” mengetengahkan projek penangkapan ikan mengunakan kaedah bubu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubok Temiang, Awangku Sazali Pengiran Salleh ketika dihubungi pemberita menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar khususnya Institut Kemajuan Desa (INFRA) atas penganugerahan dan pengiktirafan, sekaligus mengharumkan nama Kampung Lubok Temiang dalam menghasilkan inovasi dalam penangkapan ikan.
Majlis penyampaian anugerah AID 2020 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Sri Abdul Rahman Mohammad.