GREG MARTHIUS ANAK GAWING (Anak Sarawak), Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS)
“MAHU atau tidak, saya akan tetap dikenali sebagai MPP dan saya memilih untuk tidak berdiam diri dalam penindasan terhadap hak pelajar.”
Saya, Greg Marthius Anak Gawing, mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2024/2025, Jabatan Kebajikan Mahasiswa UMS, menyampaikan kenyataan ini bukan hanya sebagai MPP, tetapi sebagai anak Borneo, yang percaya bahawa kedaulatan dan hak negeri Sabah perlu ditegakkan — bukan dilupakan.
“Kenyataan ini dibuat secara peribadi atas kapasiti saya sebagai mahasiswa dan MPP, dalam semangat kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Segala pandangan disampaikan secara berprinsip, dan tidak bertujuan menghina mana-mana pihak.»
Air Bukan Sekadar Isu – Ini Kegagalan Sistem
Masalah bekalan air di kampus UMS bukan isu remeh. Sudah berulang kali berlaku, dan malangnya, setiap kali jawapannya tetap sama: tunggu, berjimat, bersabar.
Bagaimana sebuah universiti utama negeri masih tidak mendapat jaminan keperluan asas seperti air bersih secara berterusan? Ini bukan masalah teknikal semata , ini petanda kegagalan sistematik dan lebih parah, ini mencerminkan betapa lemahnya keutamaan yang diberikan terhadap kebajikan mahasiswa.
Isu Air di UMS Adalah Kegagalan Kerajaan Negeri dan bukan masalah pelajar. Masalah bekalan air di UMS bukan krisis sehari dua tetapi sudah lama dan ini adalah simptom kegagalan struktur dan dasar, khususnya oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan kerajaan negeri sendiri.
Kami mahasiswa terpaksa bergantung kepada lori tangki yang tidak menentu, agihan air mineral yang terhad dan ini bukan penyelesaian. Ini adalah pengabaian tanggungjawab.
MA63: Sabah Ada Hak, Bukan Hanya Harapan
Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan jaminan kuasa autonomi tersendiri. Tapi persoalannya: apa gunanya MA63 jika isu asas seperti air pun masih bergantung pada Persekutuanuntuk penyelesaian?
Sepatutnya, Sabah:
- Mengawal sepenuhnya sumber air dan utiliti negeri
- Menjana hasil dan cukai daripada sumber alam sendiri
- Mempunyai dana pembangunan pendidikan tersendiri
- Memperkasa agensi negeri tanpa perlu menunggu kelulusan Putrajaya
Kalau benar kerajaan negeri mahu memperjuangkan hak dalam kerangka MA63, buktikan melalui tindakan, bukan sekadar mesyuarat dan rundingan yang tidak ke mana. Kalau Sarawak boleh memiliki Agensi Tenaga dan Sumber Air sendiri – kenapa Sabah masih terlalu bergantung?
Kawalan ke atas sumber air dan tanah (Perkara 95e Perlembagaan Malaysia)
Kuasa dalam bidang perkhidmatan awam negeri, termasuk jabatan utiliti seperti air (Perkara 20 MA63)
Hak mendapat peruntukan pembangunan yang lebih besar berdasarkan status ‘negara rakan kongsi’
Terlalu Bergantung Pada Persekutuan – Sampai Bila?
Kebergantungan Sabah kepada Kerajaan Persekutuan dalam hampir semua aspek daripada bajet pembangunan hinggalah penyelesaian masalah asas adalah struktur kolonial moden yang masih tidak dipecahkan. Ini bukan sekadar isu politik; “ini isu maruah”. Sampai bila mahu terus meminta, bukan membina? sampai bila mahu terus menunggu, bukan bertindak?
UMS Sebagai Simbol Negeri, Bukan Beban Negeri
UMS bukan sekadar kampus , ums lambang intelektual dan masa depan Sabah. Tetapi realitinya, UMS seperti dianaktirikan. Air tiada, kemudahan kurang penyelanggaraan, dan keperluan asas terabai. Malah, perindustrian diutamakan untuk membangun!
Saya ulangi, kalau negeri gagal menjaga sebuah institusi sebesar UMS, bagaimana kita mahu berbicara soal kemajuan dan pendidikan berkualiti untuk seluruh Sabah?
Kritikan kepada KPT (Kementerian Pengajian Tinggi):
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga tidak boleh terus berdiam diri. Isu kebajikan pelajar, termasuk keperluan asas seperti bekalan air, adalah tanggungjawab langsung KPT. Apa guna universiti canggih, gedung akademik gah, tetapi pelajar masih mandi menggunakan air simpanan dalam baldi dan mandi dengan botol air mineral jika menghadapi krisis?
Kami jarang mendengar suara lantang daripada KPT dalam isu ini – seolah-olah masalah air di UMS bukan lagi keutamaan. Jika benar kerajaan ingin melahirkan generasi cemerlang, maka wujudkan persekitaran yang bermaruah dan manusiawi terlebih dahulu. KPT harus lebih proaktif bukan sekadar melawat dan memberi kenyataan bersifat ‘PR’. Kami mahu pelan tindakan!
Kritikan kepada YB Sepanggar (Ahli Parlimen Kawasan UMS):
UMS terletak di kawasan Parlimen Sepanggar. Maka di mana suara YB Parlimen Sepanggar dalam isu ini? Sudah berapa kali mahasiswa di sini bergelut dengan krisis air tahun demi tahun tetapi kami masih menanti suara pembelaan yang tegas daripada wakil rakyat Yang diundi. Kami menghormati mandat yang rakyat berikan kepada YB, tetapi mandat itu hadir dengan tanggungjawab. Wakil rakyat sepatutnya menjadi orang pertama menuntut penyelesaian daripada kerajaan negeri dan pusat.
Kami tidak mahu wakil rakyat yang hanya muncul di media sosial ketika ada perasmian, tetapi hilang suara ketika pelajar tiada air untuk mandi atau beribadah. Ini bukan serangan peribadi – ini tuntutan kepada tanggungjawab wakil rakyat yang dipilih untuk membela rakyat.”
Tambahan Isu: Loji Rawatan Air Telibong II – Tak Boleh Lagi Berfasa
“Salah satu masalah utama yang sering digunakan sebagai alasan adalah kelewatan pelaksanaan Loji Rawatan Air Telibong II, yang kononnya akan menyelesaikan krisis air di sekitar Kota Kinabalu termasuk UMS. Namun sehingga kini, pelaksanaan loji ini terus berjalan dalam bentuk ‘berfasa’ sedangkan masalahnya sudah bertahun-tahun berlarutan.
Persoalannya: mengapa loji ini tidak disiapkan sekaligus dan diberi keutamaan sebagai projek khas kritikal negeri? Adakah kita menunggu sehingga seluruh sistem lumpuh sebelum bertindak tegas?
Kerajaan Negeri Sabah sepatutnya menjadikan pembinaan dan pengoperasian penuh Loji Telibong II sebagai agenda segera dan keutamaan negeri, bukan lagi sekadar satu projek biasa yang dilayan sambil lewa. Kami mendesak agar projek ini dipacu seperti projek strategik negara, kerana ini menyentuh ratusan ribu rakyat dan mahasiswa yang setiap hari menanggung akibatnya. Tidak ada lagi masa untuk alasan teknikal, tender lambat, atau ‘perancangan fasa-fasa’. Masalah rakyat perlu diselesaikan dengan kepimpinan yang tegas dan berkeutamaan tinggi.”
Saya Bukan Menentang, Tapi Menuntut Penambahbaikan
Saya tidak menulis kenyataan ini untuk menentang kerajaan negeri, tetapi untuk mendesak penambahbaikan. Kepimpinan yang baik ialah kepimpinan yang bersedia ditegur bukan yang cepat terasa bila rakyat bersuara. Kami mahu melihat kerajaan negeri Sabah tampil sebagai kerajaan yang progresif, berani dan mendahulukan rakyat. Kalau slogan ‘Sabah Maju Jaya’ mahu dipercayai, ini perlu dibuktikan bukan hanya dicetak di kain rentang.
Saya berharap, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, akan memberi perhatian serius terhadap isu ini. Jika kerajaan Perpaduan benar-benar mahu menjunjung semangat MA63 dan prinsip keadilan wilayah, maka inilah masanya untuk membuktikan bahawa mahasiswa daripada Sabah tidak dipandang enteng, dan bahawa universiti bukan tempat yang boleh dipinggirkan dalam pelan pembangunan nasional. Sabah bukan pinggiran. Mahasiswa bukan angka. Dan suara ini bukan sekadar pengeposan(posting) ini seruan untuk perubahan. saya menjemput Perdana Menteri untuk melihat realiti di UMS sewaktu krisis , dan mendengar sendiri suara yang selama ini terpinggir dalam senyap.
Saya juga tidak menafikan dan menghargai segala usaha pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang selama ini bertungkus-lumus mencari penyelesaian sementara, mengurus agihan air kepada pelajar. Mohon lori tangi air, malah dalam banyak keadaan, memikul beban yang sepatutnya diselesaikan oleh agensi luar seperti kerajaan negeri dan persekutuan.
Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya tujukan khas kepada:
- Petugas universiti, staf sokongan, dan pihak pentadbiran yang tetap hadir membantu ketika pelajar dalam kesusahan,
- Persatuan pelajar, kolej-kolej kediaman, serta rakan-rakan sukarelawan yang memainkan peranan dalam agihan air,
- NGO tempatan dan syarikat-syarikat swasta yang tampil menaja bekalan air mineral dan logistik keperluan asas pelajar.
Kepada rakan-rakan mahasiswa , kita mesti kekal bersuara, dan bukan hanya mengeluh. Kita mesti kekal bertindak, bukan hanya bergantung. Suara-suara mahasiswa tidak boleh diredam oleh rasa takut atau selesa.
Kita bukan sekadar menuntut, kita juga perlu menunjukkan contoh: Kepimpinan, kebersamaan, dan solidariti sesama kita. Biar seluruh Malaysia tahu bahawa mahasiswa UMS bukan hanya cemerlang dalam dewan kuliah, tetapi juga:
- Berani dalam prinsip
- Bijak menilai isu
- Matang dalam perjuangan
Semoga waktu cuti semester ini berjalan lancar dan segala usaha baik yang dilakukan secara terbuka mahupun di belakang tabir akan membawa hasil yang bermakna. saya berharap agar semua pihak yang berkaitan, termasuk agensi negeri, kerajaan pusat, pengurusan universiti, dan pemimpin kawasan, dapat mengambil iktibar daripada krisis ini dan segera merangka penyelesaian tuntas sebelum semester bermula.
- Jangan ulangi krisis air ketika mahasiswa kembali ke kampus.
- UMS tidak boleh terus menjadi ‘mangsa berkala’ kepada kelemahan sistem.
Kerana kita bukan sekadar pewaris masa depan ,kita adalah agen perubahan hari ini.



