ADVERTISEMENTspot_img

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT REMPUH PACUAN EMPAT RODA, KENDERAAN DIBAKAR INDIVIDU TIDAK DIKENALI

Keadaan motorsikal yang terlibat kemalangan

PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar-Kota Kinabalu berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang pberlaku pada kira-kira 11.10 malam di Kilometer 14.6 jalan berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum penunggang tercampak ke lorong paling kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.

Sementara itu, pemandu dan seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat kemalangan telah dibakar individu tidak dikenali

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut mendapati kenderaan pacuan empat roda tersebut yang ditinggalkan oleh pemandunya kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kemalangan telah dibakar oleh individu yang tidak dikenali selepas kejadian.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta mengesan individu yang terlibat dalam kejadian membakar kenderaan berkenaan.

Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN