Berdiri dari kiri: Ramzie, Rahayu, Norazela, Alesiah, Humaizi, Jamain, Hairin, Jainizam,Helittah dan Amirah. Ajiron (mencangkung) bergambar bersama pemain
RANAU: Kalimat ‘Ranau Hebat’ yang terselit dalam moto Pejabat Pendidikan Daerah Ranau iaitu ‘Salam Ranau Hebat, Tahun Ini Pasti Lebih Baik, Mari Kerja Bersama’ menjadi inspirasi dan semangat untuk berjuang sebagaimana yang dipamerkan oleh para pemain pasukan bola tampar Perempuan 12TKB Ranau sepanjang Kejohanan Bola Tampar Peringkat MSS Sabah yang berlangsung di Gelanggang Bola Tampar, Ibu Pejabat Polis Kunak dan Sarina Beach baru-baru ini.
Menurut Ketua Jurulatih Mohd. Ramzie M. Jaslin, dari pusingan awal perlawanan hingga ke peringkat suku akhir, ke semua pemain yang dibarisi Michelle Jamrin dari Sekolah Kebangsaan Malinsau, Villa Frentica Dominikus (SK. Malinsau), Clara Debra Asrin (SK. Malinsau), Ainnur Masitha Jumuk (SK. Timbua), Nurfitri Qalesya Raili (SK. Karanaan), Viana Jairi (SK. Poring), Adriana Palimin (SK. Tarawas), Ellie Ezrana Daini (SK. Naradan) dan Nur Ellysa Maisyarah Sazilin (SK. Karanaan) telah menunjukkan persembahan cemerlang apabila berjaya menewaskan semua pihak lawan.
“Kita berpuas hati dengan kesungguhan dan semangat para pemain yang cuba sedaya upaya menyaingi pasukan dari PPD Tenom di peringkat separuh akhir (kalah mati) yang akhirnya kurang bernasib baik apabila tewas kedua-dua set 25-13 dan 25-17. Syabas kepada anak murid kita kerana sebenarnya pasukan kita berjaya mengekalkan kedudukan terbaik pada tahun 2020, malah lebih baik kerana tahun ini seorang pemain spiker, adik Michelle Jamrin dari Sekolah Kebangsaan Malinsau berjaya memukau hati para panel pemilih apabila disenaraikan sebagai salah seorang wakil Sabah ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada September depan. KPI bola tampar Perempuan 12TKB tercapai dengan jayanya,”jelas Ramzie.

Michelle (baju maroon) bersama barisan pemain yang akan mewakili Sabah
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan, Amirah Berniah Ardini Abdullah ketika dihubungi Borneo Daily Bulletin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pemain, barisan jurulatih dan guru pengiring.
“Di sebalik kepayahan mencari dana yang dihadapi pasukan, kita tidak lupa ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PPD Ranau dan semua penaja seperti Datuk Jonathan, LEE NYAP Group (Jersi), JR AUTO PARTS SDN BHD, Perabot Liang, Mile One Cycle, Razilin Moen, Tenduyutung Bundle, Maika Printing Ranau, Sabah Credit Corporation (Jersi), Invictus Solar Solutions (Jersi), 4×4 Auto Acessories, Mommy Bonda Homestay, Awal Enterprise, Ardie Zainurin, Fandy Junaidi, Azpy John, Ribujaya Hardware, Ajiron Jahamin, Miss Adzela, Safa Laundry, Nilai Titik Peluh Enterprise dan Ali Rahman. Hanya dengan kata-kata mampu kami ucapkan dan semoga Tuhan memurahkan rezeki anda semua,” jelas Amirah.

Keputusan rasmi kejohanan MSSS yang disertai 21 daerah tersebut ialah, Johan dimenangi oleh PPD Tenom, PPD Pensiangan (Naib Johan) dan PPD Keningau (Ketiga).



