TINJAU… Dr. Joachim memerhatikan kenderaan penduduk kampung lalu di atas jalan yang becak akibat gelongsoran lumpur dari tanah tinggi, di jalan Kampung Semuroh Kinandusan, Kundasang, kelmarin.
RANAU, 22 Januari 2021: Pelan pembangunan di pusat-pusat peranginan di kawasan tanah tinggi terutama di daerah Ranau perlu dikaji semula bagi memastikan ia tidak mengundang bencana.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, pegawai-pegawai daerah perlu bertindak segera merujuk dan mengkaji semula semua pelan tersebut supaya ia menjamin keselamatan pengunjung yang bakal menggunakan kemudahan berkenaan.
“Pihak Majlis Daerah perlu merujuk serta mengkaji semula pelan pembangunan sebelum memulakan pembangunan di kawasan tanah tinggi.
“Kegagalan untuk mengawal selia pembangunan di kawasan tanah tinggi boleh menyebabkan kejadian gelongsoran lumpur yang memenuhi permukaan sehingga jalan menjadi becak, seperti yang terjadi di kampung Semuroh Kinandusan, Kundasang baru-baru ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.
Pada Rabu lalu kawasan tempat letak kereta di Taman Negara Gunung Kinabalu, Kundasang, ditutup ekoran kejadian tanah runtuh.
Runtuhan yang berlaku adalah sepanjang 150 meter dengan lebar 100 meter dan tidak membabitkan penempatan penduduk.
Sementara itu dalam tinjauan bersama Pegawai Pemimpin Masyarakat (UPPM) Kundasang, Dr. Jaochim juga mendapati jalan-jalan kampung terutama di Kampung Semuroh Kinundusan juga rosak berikutan cuaca hujan berterusan sejak minggu lalu.
Oleh itu katanya, jalan-jalan kampung itu perlu diperbaiki dan pihak konsensi yang dilantik perlu membuat kerja-kerja pembaikan dengan segera.
“Terdapat juga kerosakan lain seperti tanah runtuh dan tanah mendap. Diharapkan agar pihak konsensi dapat melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan di sini,” katanya
Dr. Joachim menasihatkan agar penduduk di Kundasang berwaspada terhadap kejadian tanah runtuh serta segera meninggalkan tempat kediaman masing-masing sekiranya ada tanda-tanda tanah runtuh akan berlaku.
“Jangan teragak-agak untuk menyelamatkan diri sekiranya berlakunya kejadian tanah runtuh, kerana kita tidak mahu kemalangan jiwa berlaku,” kata Dr. Joachim.