Gambar – Tan Sri Annuar (kanan) menerima cendera kenangan daripada Hj.Junaidi
RANAU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperuntukan sebanyak RM168.4 juta bagi membina dan menaik taraf menara telekomunikasi di seluruh kawasan daerah Ranau.
Peruntukan berkenaan termasuk melaksanakan projek ‘Point of Presence’ (PoP) bagi memberikan perkhidmatan internet 4G di daerah ini menjelang tahun hadapan.
Menterinya Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa berkata peruntukan itu melibatkan pembinaan sebanyak 35 menara telekomunikasi baharu, dan menaik taraf 30 menara sedia ada dengan jumlah peruntukan sebanyak RM103.4 juta daripada RM168.4 juta.
Katanya, kerja-kerja pembinaan dan naik taraf berkenaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Disember tahun ini.
“Kontraktor telahpun dilantik untuk melaksanakan projek ini yang terdiri syarikat tempatan di Sabah. Justeru saya berharap mereka dapat menyiapkan projek mengikut justifikasi dan jadual yang telah ditetapkan.
“Sebahagian peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membina lima lagi menara telekomunikasi di beberapa kawasan di Ranau yang terletak jauh di pedalaman menggunakan teknologi satelit.
“Adalah menjadi harapan, dengan adanya projek di bawah peruntukan Keperluan Struktur Baharu Ranau (KSBR) ini, semua kawasan di Ranau terutama kawasan pedalaman akan mendapat jaringan internet dan telekomunikasidi,” katanya kepada media selepas Program Santai bersama YB MenKOMM Bersama Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) di Dewan Cung Chu Kong di sini pada Ahad.
Menurut Annuar, beliau juga mendapat laporan bahawa masih banyak sekolah di daerah ini yang tidak mempunyai jaringan internet yang baik.
Justeru untuk mengatasi masalah itu, sebanyak RM65 juta daripada peruntukan yang telah diluluskan akan digunakan untuk melaksanakan projek PoP di 60 buah sekolah di kawasan daerah Ranau.
“Apabila projek ini siap kelak, penduduk kampung yang berada dalam lingkungan lima kilometer daripada sekolah berkenaan, juga akan turut mendapat manfaat,” tambahnya.
Selain itu, Annuar melalui kementeriannya turut meluluskan peruntukan untuk membina sebuah Pusat Ekonomi Digital di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Mohd Sukari Ab Hamid, Pengerusi MCMC, Dato’ Dr. Fadhlullah Suhaimi Abd Malik Pengarah Finas Borneo, Encik Mohd Rizal Mohamed Yunus, Penolong Pegawai Daerah Ranau, Puan Florencia Padasian, (wakil Pegawai Daerah Ranau) dan Haji Junaidi Sahat, Rakan Strategik Jabatan Penerangan Negeri Sabah.