29 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jual dadah dan langgar PKP, dua lelaki tempatan ditahan polis.

DADAH yang dirampas dari kedua-dua suspek– Foto : Polis

RANAU: Polis menahan dua lelaki tempatan ketika sedang menjalankan urus niaga menjual dadah di hadapan sebuah kedai dekat Kampung Lohan, petang kemarin.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Sammy Newton dalam kenyataannya hari ini berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 40an ditahan sepasukan anggota Polis yang sedang menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

DSP Sammy Newton

Menurutnya dalam kejadian lebih kurang 1.30 petang itu,  kedua-dua suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum polis bertindak menahan suspek.


“Polis yang melakukan pemeriksaan ke atas tubuh suspek berusia 40an telah menemukan dua peket plastik lutsinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis Syabu anggaran berat kasar 0.28 gram.

“Manakala pemeriksaan terhadap suspek berusia 30an pula telah menemukan satu bekas tin gula-gula jenama ECLIPSE MINTS yang di dalamnya mengandungi 11 peket plastik lutsinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis Syabu anggaran berat kasar 1.73 gram.

“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

DICEKUP…kedua-dua suspek (duduk) ditahan di hadapan kedai Lohan Ulu.– Foto : Polis

Selain itu katanya, suspek juga didapati ingkar dengan arahan PKP yang kini masuk fasa ketiga, di mana semasa kejadian  mereka berada di kawasan tidak sepatutnya.

DSP Sammy juga berkata, kedua-dua suspek turut memiliki rekod jenayah lampau iaitu pernah didakwa dibawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek seterusnya dibawa ke Balai Polis Ranau untuk tindakan lanjut dan Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibawah Peraturan 11(1)  Peraturan2 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah didalam kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020.

Dalam pada itu, DSP Sammy menyeru orang ramai di daerah ini agar menyalurkan maklumat berkaitan dadah kepada pihak polis dan pada masa sama beliau juga mengingatkan agar PKP terus dipatuhi dalam usaha membendung jangkitan wabak Covid-19 selain berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati ingkar. TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN