TINJAU…. Hendrus semasa melihat keadaan sungai di kampung Samparita Pusat, Kota Marudu.
KOTA MARUDU, 29 Januari 2021: Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Kota Marudu diminta untuk menyelesaikan masalah hakisan sungai dan runtuhan tebing sungai di kampung Samparita Pusat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek.
Hendrus Anding, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek dalam tinjauan ke sungai terbabit mendapati berlakunya kerosakan struktur bentuk sungai akibat hujan lebat dan banjir.
“Akibat dari kejadian hakisan sungai dan runtuhan tebing, pokok-pokok di sekitar sungai telah tumbang”, jelas Hendrus.
Hendrus dalam lawatannya ke sungai kampung berkenaan diiringi oleh Jurutera Jabatan Perparitan dan Saliran Daerah Kota Marudu, Terence Erdy wong, Pemaju mukim Janlin Maidar, Ketua Kampung , Stanis Moroon dan pegawai lain.
Hendrus berkata, “hakisan sungai dan runtuhan tebing boleh membahayakan penduduk kampung serta sekolah yang berhampiran dengan sungai.”
“Sungai ini perlu diluruskan, dan tembok penahan tanah runtuh (gabion) perlu dibina bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang membahayakan penduduk dan kebarangkalian berlakunya banjir juga adalah tinggi”, kata Hendrus.
Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan ini berkata, masalah ini perlu diselesaikan dengan segera.
“Diharap agar JPS Kota Marudu dapat bertindak dengan segera”,
Terdahulu, Hendrus bersama dengan pasukan kerjanya mengedarkan bantuan bakul makanan di tujuh buah kampung dalam DUN Tandek, Kota Marudu.