ADVERTISEMENTspot_img

JWP sediakan kemudahan pengangkutan pelajar Labuan ke sekolah

Hannah meraikan pelajar keluarga berpandapatan rendah untuk menaiki bas sekolah menerusi Program Bas Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan

LABUAN: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Perbadanan Labuan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melaksanakan inisiatif dengan menyediakan kemudahan pengangkutan pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan akses pengangkutan untuk ke sekolah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata inisiatif ini dilaksanakan susulan isu semakan data kehadiran pelajar yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini mendapati serami 989 pelajar membabitkan 25 buah sekolah menengah dan rendah telah tidak hadir ke sekolah.

“Punca utama menyebabkan ketidakhadiran ke sekolah yang dikenal pasti hasil daripada lawatan pemantauan urus tadbir dan Pelaksanaan Program di Bawah Pemberian Khas Wilayah Persekutuan ialah ketiadaan pengangkutan selain dipengaruhi faktor latar belakang keluarga berpendapatan rendah, miskin, serta faktor jarak tempat tinggal pelajar yang agak jauh dari sekolah”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bas Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di SMK Lajau, pada Jumaat.

Hannah berkata, dengan adanya inisiatif ini akan dapat memberi tumpuan kepada pelajar yang mempunyai masalah pengangkutan, khususnya pelajar daripada keluarga miskin serta pelajar yang telah dikenal pasti mengalami kesukaran akses pengangkutan.

Jelas Hannah Yeoh, kerajaan MADANI melalui JWP telah menyediakan peruntukan RM174,800 bagi fasa pertama sebagai program rintis berkenaan yang memberi manfaat kepada 437 pelajar daripada enam sekolah yang terdiri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, SMK Lajau, SMK Pantai, SMK Labuan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh dan SMK Taman Perumahan Bedaun.

Katanya, program ini akan bermula 1 September hingga 31 Disember dengan bantuan sehingga RM100 sebulan bagi setiap murid, menerusi kerjasama pengusaha bas mini sedia ada.

“Kerajaan berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu menangani isu ketidakhadiran pelajar secara lebih tersusun dan bersasar, disamping memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pihak sekolah, PIBG dan komuniti dalam memastikan pelajar tidak tercicir daripada pendidikan “, katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman, Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN