Garido
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Menang dua perlawanan pertama Liga Super 2026-2027 mengukuhkan keyakinan Sabah FC mengharungi cabaran berikutnya.
Pada Jumaat (28 Ogos), skuad kendalian Juan Torres Garido mengalahkan Penang FC 2-0 untuk kemenangan kedua berturut-turut selepas memulakan kempen dengan kemenangan Star City FC 3-1 pada 24 Ogos. Kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Likas.
Dua kemenangan itu meletakkan Sabah FC di tiga kedudukan teratas, berkongsi kutipan enam mata dengan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.
JDT kini mengetuai carta manakala Selangor juga berada di atas Sabah berdasarkan perbezaan jaringan yang memihak kepada dua pasukan teratas itu.
Garido berkata, masih banyak perlu diperbaiki tetapi beliau berharap momentum postif dua perlawanan pertama itu akan berterusan terutama pada tiga perlawanan berikutnya yang akan berlangsung dalam tempoh seminggu.
“Sentiasa ada banyak perkara yang perlu diperbaiki…ini baru perlawanan kedua dalam liga.
“Lepas ini kami akan berhadapan perlawanan yang sukar terutama Selangor FC. Mari kita lihat bagaimana kami beraksi menentang mereka,” katanya kepada media selepas perlawanan menentang Penang.
Sabah akan meneruskan cabaran dalam saingan pusingan 16 pasukan Piala FA menentang Selangor di Stadium Likas pada 2 September.
Selepas itu Sabah kembali ke saingan Liga Super melayani kunjungan Kuching City FC di Stadium Likas pada 5 September sebelum berhadapan semula dengan Selangor untuk perlawanan balas Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 9 September.
Garido berkata, mengharungi tiga perlawanan besar dalam tempoh tujuh hari adalah tugas sukar terutama dengan situasi Sabah yang mempunyai skuad kecil berbanding pasukan lain.
Beliau berharap beberapa pemain yang direhatkan ekran kecederaan pada Jumaat akan bersedia pada perlawanan berikutnya untuk membolehkannya menyedia pasukan yang lebih mantap.
“Pendekatan kami menghadapi perlawanan jauh lebih baik jika kami mempunyai semua pemain,” katanya.



