BASHIR (tengah) mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang membangkitkan isu banjir kilat.
LABUAN: Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Haji Alias berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Labuan telah membuat kajian jangka panjang secara menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir kilat yang membelenggu beberapa penduduk kampung di pulau ini.
Beliau berkata, kajian awal yang dijalankan oleh JPS itu mendapati 30 peratus kawasan di pulau ini merupakan tanah rendah melebihi 2.5 meter dari paras laut yang terdedah dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat melanda Labuan.
“Masalah lain penyebab banjir antaranya ialah aktiviti pembangunan yang tidak terancang serta keadaan saiz longkang yang agak kecil tidak mampu untuk mengalirkan air disamping peruntukan yang tidak mencukupi untuk menyelangara longkang”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan di Wisma Perbadanan Labuan, pada Selasa.
Terdahulu sebelum itu beliau bersama ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan telah mengadakan mesyuarat dengan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pengarah Bahagian Jalan, Jabatan Kerja Raya Labuan untuk membincangkan dan mendapatkan maklumat mengenai perancangan jangka panjang mengatasi banjir kilat.
BASHIR bersama ahli Majlis Penasihat yang hadir pada mesyuarat tersebut.
Sementara itu, Bashir yang juga Ahli Dewan Negara berkata, beliau akan menyuarakan di Dewan Negara supaya kerajaan dapat memberikan peruntukan yang lebih besar dan mencukupi setiap tahun untuk kerja-kerja menyelangara longkang di Labuan.
Ini kerana katanya, JPS Labuan hanya diperuntukan RM100,000 setahun untuk kerja-kerja menyelenggara longkang dan sungai dan jumlah itu terlalu kecil menyebabkan masih banyak longkang yang tidak dapat diselenggara dengan baik.
Bashir berkata, banjir kilat yang melanda beberapa kampung bukanlah perkara baharu tetapi masalah yang telah lama membelenggu penduduk kampung apabila rumah mereka ditengalami air.
Hadir sama dalam mesyuarat itu, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Haji Hamir Zahari dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran), Perbadanan Labuan, Fadzilah Muhmud.