Jonathan
RANAU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin menyelar kenyataan seorang pengamal perubatan yang melabelkan pemimpin di daerah ini sebagai tidak peka dengan masalah dihadapi Hospital Ranau dalam mendepani pandemik Covid-19.
Katanya, kenyataan Dr. Chong Eng Leong yang juga seorang pakar bedah bahawa stok bekalan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) Hospital Ranau cuma cukup untuk seminggu, manakala sut keselamatan cuma ada tiga helai, adalah tidak benar.

Artikel berkaitan: https://www.thevibes.com/articles/news/3129/red-zone-ranau-left-with-just-a-weeks-supply-of-ppe
“Dr Chong Eng Long sepatutnya memeriksa fakta beliau terlebih dahulu dengan Pengarah Hospital Ranau sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak betul.
“Hospital Ranau masih mempunyai lebih dari 150 helai sut keselamatan seperti yang disahkan oleh Pengarahnya.
“Manakala stok bekalan PPE sebenarnya tidak ada yang perlu dibimbangkan kerana bekalan tersebut dihantar ke Sabah oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengikut jadual keperluan.
“Bekalan PPE juga boleh dihantar daripada hospital lain kepada hospital yang ada keperluan segera,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau memberitahu, beliau bersama wakil-wakil rakyat di sini sentiasa peka dan berusaha keras untuk membantu mengatasi kekurangan yang dihadapi jabatan-jabatan kerajaan di daerah Ranau.
“Sebagai seorang pengamal perubatan beliau patut lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan. Semasa wabak covid 19 sedang menular bukanlah masa untuk cuba menangguk di air keruh,”
“Jika fakta yang betul disajikan, kami berterima kasih dan akan berusaha untuk atasi masaalah yang dihadapi, namun jika fakta yang dihamburkan adalah fitnah, kami harap ada permohonan maaf dari Dr. Chong,” tegas beliau.