CERIA..sebahagian penerima sumbangan yang disampaikan sukarelawan Johnny (kanan)
WALAUPUN terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan halangan, namun ianya tidak mematahkan semangat buat seorang sukarelawan untuk merealisasikan hajatnya melakukan kerja-kerja amal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu sebagai langkah drastik kerajaan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 di negara ini.
Buat anak jati Kota Marudu, Johnny Gampawi, 49, mengesan dan mengumpul data menerusi Applikasi Web yang beliau bangunkan, seterusnya mencari lokasi kediaman untuk menyerahkan sumbangan prihatin berupa bakul makanan kepada kira-kira 45 keluarga serta individu dari Kota Marudu dan sebahagiannya dari Kota Belud yang berkerja di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang kerana terjejas PKP, merupakan cabaran serta pengalaman yang akan terus terukir dengan nilai-nilainya tersendiri.
Ketika menceritakannya, Johnny mengakaui, berdepan dengan pihak berkuasa yang sedang bertugas mengawal pergerakan orang ramai di beberapa lokasi sekatan jalanraya sepanjang penguatkuasaan PKP, merupakan detik-detik mendebarkan.
“Apa tidaknya, selain berpotensi diarah berpatah balik, saya juga mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana ingkar PKP. Direman, dikompaun dan diambil tindakan mahkamah cukup merisaukan saya,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin.
Menurut Johnny, sekurang-kurangnya enam sekatan jalanraya terpaksa beliau lalui sepanjang pergerakannya dalam misinya menghantar sumbangan di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Bundusan, Donggongon dan Kepayan. Namun semuanya dipermudahkan, berjalan lancar dan sumbangan sampai kepada penerima walaupun terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk mengagihkannya.
Johnny yang juga merupakan Ketua Information Technology(IT) Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA), akhirnya menarik nafas lega apabila tugas serta amanah yang diberikan kepadanya oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang dan Persatuan Tobisa dalam menjayakan misi ini telah tercapai.
Jelas Johnny, sumbangan berupa keperluan asas makanan yang beliau hantar hingga ke pintu rumah para penerima adalah ihsan (sumbangan) daripada Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Laiking dan Penampang Act Of Kindness Association (PAKA) menerusi inisiatif bersama pemimpin-pemimpin persatuan Tobisa terdiri tuan Majamis Timbuong dan Jaiping Minsu.
“Keprihatinan seorang pemimpin muda berjiwa rakyat seperti Datuk Darell amat dihargai, malah kemurnian dan kemurahan hati beliau menghulur bantuan telah meninggalkan kesan mendalam kepada pemimpin serta ahli-ahli persatuan Tobisa khususnya para penerima sumbangan terdiri warga Kota Marudu dan Kota Belud yang ada di sekitar Kota Kinabalu.
“Kelancaran serta kejayaan misi ini juga banyak dibantu oleh Setiausaha Politik kepada Datuk Darell Laiking, iaitu Pritchard Arthur Gumbaris dan Setiausaha Penampang Act Of Kindness Association (PAKA), Judith Ignatius Lingam. Pihak keselamatan khususnya Polis juga turut menyumbang kepada kejayaan misi ini,” katanya.
Sementara itu, Majamis yang juga Ketua Warisan Bahagian Kota Marudu bersama Jaiping, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell dan Penampang Act Of Kindness Association (PAKA) atas keprihatinan serta kesediaan mereka membantu menyediakan sumbangan berupa keperluan makanan asas kepada yang memerlukan.
Menurut Majamis, sumbangan tersebut sekurang-kurangnya telah meringankan beban mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa keempat perlaksanaanya.
Majamis turut mengingatkan mana-mana warga Kota Marudu yang berada di seluruh pelusuk negeri ini supaya sentiasa mematuhi PKP untuk mengelakkan dari dijangkiti virus Covid19 selain berdepan tindakan undang-undang sekiranya ingkar arahan.
“Saranan kerajaan untuk duduk diam-diam dirumah “Stay At Home”, hanya keluar apabila benar-benar perlu sahaja haruslah diberi perhatian. Kekalkan penjarakkan sosial apabila anda berada di tempat awam, memakai topeng muka, mencuci tangan sama ada menggunakan sabun atau sanitizer, dan lain-lain aspek penjagaan diri,” katanya
Dalam masa sama, Majamis turut menyarankan kepada warga Kota Marudu, dimanapun mereka berada supaya peka dengan bantuan yang disediakan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang PKP. “Pohon mana-mana bantuan menerusi atas talian ataupun edaran borang, tapi pastikan ianya sahih sebelum diisi atau memasukan sebarang maklumat peribadi,” saran Majamis. TAMAT