Joachim memantau keadaan jalanraya yang rosak teruk di Kg.Gusi Ranau. -Foto: Nabalu News
RANAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr.Joachim Gunsalam mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau dapat menyediakan pelan pembangunan infrastruktur di daerah itu khususnya Kundasang dalam masa terdekat agar tindakan sewajarnya dapat diambil untuk menyelesaikan masalah jalan raya di kawasan itu.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, pelan pembangunan itu penting supaya tindakan wajar dapat diambil seterusnya memberikan kemudahan infrastruktur yang lengkap dan terbaik kepada masyarakat kampung.
“Saya berharap agar pihak JKR dapat menaik taraf, menyelanggara dan meningkatkan kemudahan jalanraya di kawasan ini, terutamanya jalan raya yang rosak teruk termasuk di Kampung Gusi,” katanya
Terdahulu itu Joachim mendengar taklimat daripada JKR Ranau mengenai pembangunan jalanraya di kawasan Kundasang. Taklimat diberikan oleh Jurutera daerah Mac Glen Frederick Lojuman.
Selepas taklimat, Joachim memantau sendiri pembangunan infrastruktur seperti kemudahan jalanraya di Kampung Karagasan, Ranau dengan SK Gusi sekaligus memantau keadaan jalanraya di sekitar kawasan terbabit.
Mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Ranau, beliau berkata sehingga kini sebanyak 74 kes dilaporkan dan tiga pusat kuarantin iaitu Rumah Rehat (Rest House), Pusat Latihan Kem Bina Negara (PLKN) dan Asrama Kompleks Lembaga Sukan Ranau.
Secara umumnya, kadar jangkitan Covid-19 di Ranau masih dalam keadaan terkawal. Namun, rakyat diwajibkan mengamalkan normal baharu yang telah ditetapkan, katanya.