APA KHABAR …. Jahid menyantuni para pemimpin JKKK.
TAMPARULI – Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), diseru untuk memperkasakan pengurusan bencana dan kebajikan komuniti di kampung masing-masing.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat luar bandar, kefahaman dan kecekapan ahli JKKK dalam menguruskan situasi kecemasan serta menjaga kebajikan komuniti adalah amat penting.
“JKKK bukan sekadar penyampai dasar kerajaan tetapi juga menjadi barisan hadapan dalam menangani isu-isu kampung seperti bencana alam, kebajikan rakyat, dan keselamatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Taklimat Pengurusan Bencana, Kebajikan & Peranan JKKK dan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK bagi Kawasan DUN N.14 Tamparuli, di Dewan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap III KPLBS, Neldin Gimbang, Setiausaha Rendah Seksyen Latihan Pembangunan Masyarakat, Norhayati Aliju, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W Harry, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pegawai-Pegawai KPLBS, dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
“Sebagai pemimpin akar umbi, JKKK perlu dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran untuk menangani cabaran semasa.

UNTUK ALBUM …. Jahid bersama para pemimpin lain mengabadikan gambar kenangan bersama Pengerusi-Pengerusi JKKK dan JKDB.
“Melalui sesi taklimat yang melibatkan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam, saya yakin para peserta akan memperoleh panduan yang bermanfaat dalam menjalankan tugas mereka,” katanya.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, menyeru kepada JKKK agar mewujudkan kerjasama yang baik dengan mantan JKKK di kampung masing-masing, dan berkongsi segala pengalaman yang ada bagi memantapkan lagi cara kepimpinan di kampung mereka.
Pada majlis yang sama, Jahid turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi JKKK dan Pengerusi JKDB yang baharu dilantik.
Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan ini membawa amanah yang besar dalam memastikan kemajuan kampung masing-masing.
“Saya berharap semua yang menerima watikah pelantikan ini akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan komitmen.
Katanya, Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), sentiasa bersedia memberikan sokongan dan bimbingan bagi memastikan pembangunan luar bandar terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
Dalam pada itu, Jahid turut menghargai pihak penganjur dan semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, dengan harapan agar segala ilmu yang diperoleh dapat diterapkan dalam usaha membangun dan memajukan kampung. –Ateng



