RAYMOND menyerahkan I-Kad pekerja asing kepada Pengurus Syarikat Mehfil North Resturant Balvir Singh bagi sektor perkhidmatan (Resturan).
LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan telah memeriksa 1,059 warga asing dalam 252 operasi penguatkuasaan yang dijalankan secara berasingan sejak Januari hingga Jun tahun ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Labuan, Raymond Entalai berkata, daripada jumlah itu seramai 58 orang pendatang tanpa izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1958/63.
Dalam perkembangan yang lain beliau berkata, Jabatan Imigresen Labuan juga telah melaksanakan Program Kad Akaun Diri Pekerja Asing (I-Kad) kepada setiap kali pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“ Pengeluaran I-Kad ini tidak melibatkan sebarang Kos tambahan kepada majikan dan I-Kad ini sah laku berdasarkan kepada tempoh sah laku PLKS di keluarkan” katanya dalam Satu kenyataan media disini, pada Rabu.
Beliau berkata I-Kad Warga asing ini adalah untuk memudahkan pihak berkuasa membezakan pekerja asing dengan Rakyat tempatan melalui sistem dokumen diri lebih bersistematik.
Katanya, pengeluaran I-Kad pekerja asing ini mengikut enam sektor yang dibenarkan meliputi sektor Pertanian, Perladangan, Pembinaan, Perkilangan, Perkhidmatan dan Pembantu Rumah asing.
“Sehingga 28 Jun 2024 Jabatan Imigresen Labuan telah menyerahkan sebanyak 25 I-Kad kepada majikan”,katanya.