27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

JELIUS ATING MULA TUGAS BERSAMA SABAH FC

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU–Jurulatih Jelius Ating memulakan tugas bersama Sabah FC pada Selasa selepas diberi tanggungjawab baharu dalam pasukan susulan prestasi hambar dalam Liga Super yang menyebabkan ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto direhatkan sementara untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan.

Jelius yang meninggalkan pasukan itu pada awal musim akhirnya dipanggil semula dalam pasukan sebagai penolong pengurus yang diumumkan pengurus pasukan, Marzuki Nasir, Isnin lepas.

Petang kelmarin, jurulatih itu dilihat bersama pemain-pemain Sabah FC menjalani latihan di padang sintetik Kompleks Sukan Likas yang turut disertai staf kejurulatihan termasuk pengendali sementara, Burhan Ajui.

Jurulatih Sabah FC III (Piala Presiden), Johnny Dominicus juga kelihatan bersama dalam sesi latihan tersebut, difahamkan diberi tanggungjawab untuk membantu staf kejurulatihan berikutan pembatalan kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia tahun ini.

Kehadiran Jelius disambut baik para pemain dan disifatkan sebagai satu baik untuk membolehkan jurulatih dapat memulihkan situasi Sabah FC ketika ini.

Serentak itu, beliau juga memanggil tiga lagi pemain skuad Piala Presiden untuk menyertai pasukan senior Sabah FC.

Mereka ialah bekas pemain skuad bawah 19 kebangsaan, Gerald Gadit, 22, dan pemain skuad Sukma 2018, Mohd Hizaz Lokman, 21, dan Naaim Firdaus Stibin, 22.

Gerald merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri, SMK Datuk Peter Mojuntin dan Hizaz adalah bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian dan mereka dipanggil menyertai latihan pasukan senior pada awal musim.

Ketiga-tiga mereka adalah antara tujuh pemain dari skuad Piala Presiden yang dipanggil menyertai skuad Sabah FC. Empat yang lain ialah Mohd Hanafi Tokyo Hasim, Sahrizan Saidin, Nureizkhan Isa Jaafar dan Harith Naem.

Ketika dipanggil semula kembali bersama Sabah FC, Jelius menyatakan kesediaan untuk membantu pasukan berkenaan sekali pun sudah berada di penghujung saingan liga.

“Atas kepercayaan pihak pengurusan, saya akan cuba membantu pasukan ini,” katanya.

Jurulatih yang berjaya membawa pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana pada 2019 itu, berkata, Sabah FC adalah pasukan kita, sudah tentu saya akan sedia membantu.”

Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa membuka semula “kitab bolasepak” memandangkan dia sudah beberapa bulan sejak awal musim tidak bersama dalam pasukan itu.

“Apa pun ia bukan satu masalah, tentu sekali saya akan sedia membantu kerana ini pasukan kita,” tegasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN