Gambar paling depan Ketiga dari kiri, Dr. Linah Bagu, Sitiamah, Rosmahwati, para pesnyarah, guru-guru SK Kindu dan para pelajar PISMP Bahasa Kadazandusun Ambilan Jun 2020-2025 dan 2021-2026
TUARAN: Jabatan Bahasa Kaadzandusun (JBKD) dan Kelab Wiki Kent (KWK), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent telah melaksanakan Program ‘Wiki id Sikul’ di SK Kindu, Tuaran di sini baru-baru ini.
Program tersebut dibuat sebagai satu momentum untuk menggerakkan Kelab Wiki Kent menjadi lebih aktif bukan sahaja diperingkat antarabangsa tetapi di peringkat komuniti sekitar.
Program yang dinamakan Program Wiki Kent Kindu 2024 (WKK2024) ini melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pendedahan Wikikamus kepada para murid Tahun 5 dan Tahun 6.
Ceramah tersebut adalah berkaitan dengan bahasa etnik, penggunaan Digital dan Inovasi dalam PdP kepada guru-guru SK Kindu serta aktiviti didik hibur pelatih BKD bersama murid-murid tahap satu dan dua yang tidak terlibat dengan aktiviti Wikikamus.
Aktiviti Wikikamus ini memerlukan para murid memasukkan perkataan baharu ke dalam Wikikamus dan dalam tempoh dua jam, para murid berjaya memasukkan 260 perkataan.
Aktiviti ini telah dikendalikan oleh para pelajar Bahasa Kadzandusun (BKD) yang juga merupakan ahli-ahli KWK dan pernah mengikuti program Wikimedia di Singapura pada tahun lepas manakala ahli-ahli KWK yang lain membimbing para murid tahap satu dan tahap dua yang tidak terlibat dengan aktiviti Wikikamus melalui aktiviti didik hibur.
Sementara itu, pada masa yang sama, para pensyarah memberikan ceramah berkaitan pentingnya mengetahui dan mempelajari bahasa etnik agar bahasa ibunda ini tidak hilang. Ceramah disampaikan oleh Ketua Jabatan, JBKD, Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah.
Selain itu, turut disampaikan ceramah penggunaan digital dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) oleh Dr Rosie Johnny dan Inovasi pengajaran dan pembelajaran menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang oleh xRosmahwati Binti Ebbie.
Ceramah ini bertujuan untuk membantu dan mendedahkan guru-guru untuk mempertingkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan efektif melalui penggunaan digital dan inovasi dalam PdP agar proses PdP menjadi lebih menarik, kreatif dan adaptif.
Program ini bukan sahaja memberikan suntikan baharu kepada para murid dan guru-guru SK Kindu tetapi juga kepada para pelajar BKD dan pensyarah agar sentiasa bersedia untuk mengongsikan idea-idea yang baik kepada usaha menyeimbangkan program dalam dan luar IPGM Kampus Kent agar ilmu yang ada dapat dikongsikan bersama.

Gambar Kiri Rosmahwati, Dr Rozie, Sitiamah dan Dr. Linah Bagu bersama dengan murid-murid dan guru-guru SK Kindu dalam majlis program itu.
Program yang mendapat mandat penuh daripada Pengarah IPGM Kampus Kent, Dr Hamidah Binti Samsudin ini bukan sahaja membantu JBKD dan KWK untuk menjangkau komuniti tetapi juga memberikan peluang kepada SK Kindu sendiri untuk muncul di layar persada antarabangsa melalui penglibatan dan pendaftaran murid-murid mereka dalam platform Wikikamus.
Program ‘Wiki id sikul’ yang juga bertujuan untuk mendedahkan murid-murid terhadap kewujudan platform Wikimedia sebagai satu projek yang percuma, bebas dan boleh disunting serta diakses pada bila-bila masa sahaja.
Ia membolehkan para murid mengumpul dam memasukkan kosa kata dan terjemahan Bajau Sama serta Dusun ke dalam Wikimedia sebagai satu bentuk perjuangan dalam memartabatkan bahasa ibunda.
“Saya sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada para pensyarah dan guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran kerana datang ke SK Kindu untuk melaksanakan Program Wiki id Sikul, Wiki Kent Kindu 2024.
“Saya percaya dengan adanya program ini, murid-murid serta para guru mendapat pengalaman dan ilmu pengetahuan yang baharu,” kata Guru besar SK Kindu Sitiamah Hj Sahat, dalam ucapan perasmian penutupan program itu.
Program Wiki id sikul ini memberikan peluang kepada ahli Kelab Wiki Kent untuk bergiat aktif dalam perkongsian maklumat secara dalam digital di peringkat global kepada murid-murid sekolah.
Slogan dalam Bahasa Kadazandusun iaitu “Okon nopo ko yati, isai po” amatlah bersesuaian dengan semangat dan jati diri pelajar untuk memartabatkan bahasa etnik atau ibunda.
Diharapkan program yang disertai oleh 43 orang murid dalam memasukkan kosa kata ke dalam Wikikamus dapat meningkatkan kemahiran teknologi mereka dan dapat menyuntik semangat untuk memartabatkan, memelihara, dan memperkasakan bahasa ibunda melalui platform digital Wikimedia sekaligus mencapai matlamat Kelab Wiki Kent dalam meluaskan penggunaan Bahasa Kadazandusun dalam penulisan.
Secara keseluruhannya, program Wiki Id Sikul ini mendapat sambutan yang meriah daripada murid-murid dan guru-guru kerana kebanyakan peserta berharap agar program seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.
Turut menjayakan program tersebut ialah Pensyarah Penyelaras Rosmahwatie Binti Ebbie, pensyarah JBKD Dr Rosie Johnny, John Gitom dan Dr Willfred Dousip, Pengerusi bagi program Wiki id Sikul Bryon Johnius dan guru-guru SK Kindu, Tuaran.