Munirah (dua kiri) menerima cenderamata dari Jabatan Penerangan yang disampaikan oleh Supian (kiri).
KOTA BELUD: Jabatan Penerangan (JaPen) dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) berperanan menyampaikan maklumat yang benar dan sahih sampai kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, selain menyampaikan dasar kerajaan terkini, JaPen bersama MCMC turut menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita yang tidak sahih kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada JaPen Sabah kerana telah memilih Kota Belud sebagai tempat pertama Program Jiwa Komuniti Madani, sebagai ahli parlimen saya tidak nafikan, media sosial adalah merupakan medan untuk kita sampaikan apa yang sudah kita buat, apa yang kita akan buat dan cara kita berkempen kerana mustahil sorang ahli politik itu dia mampu untuk pergi berjumpa dengan semua orang dalam masa yang sama.
“Namun, saya menyeru kepada semua orang-orang kampung dan penduduk kampung untuk kita sama-sama melihat dan memastikan bahawa berita ataupun apa-apa pengumuman yang kita tengok di media sosial, Tiktok dan lain-lain adalah sahih dan benar, di sinilah peranan JaPen juga MCMC dalam memastikan maklumat dan berita itu benar-benar sahih atau sebaliknya,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jiwa Madani Peringkat Parlimen Kota Belud di Perkarangan Bangunan Persekutuan Kota Belud, pada Sabtu.
Beliau turut menasihatkan kepada masyarakat untuk sentiasa berjaga-jaga kepada maklumat yang boleh mengundang bencana seperti scammer.
“Baru beberapa hari yang lepas kita ada bentangkan satu RUU yang berkaitan dengan scam, sekarang ini para scammer pandai, dia minta orang lain untuk pinjam orang lain punya bank akaun dan selepas itu transfer kepada dia.
“Di Kota Belud ini, yang paling saya risau adalah Job Scam, sebagai ahli parlimen,saya turut terlibat menyelesaikan, ada saudara kita ini yang mencari kerja untuk membantu keluarga ditawarkan pekerjaan di luar negara namun ditipu dan diterbangkan ke sempadan Myanmar jadi buruh paksa dan didera, tapi syukur setelah setahun dengan bantuan pelbagai badan Ngo, dia telah kita selamatkan.
“Nasihat saya kepada masyarakat dan penduduk kampung, pastikan setiap tawaran kerja atau maklumat yang diterima itu sahih sebelum membuat keputusan dan bertindak, sekiranya ragu-ragu boleh rujuk kepada MCMC atau Jabatan Penerangan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa menasihatkan masyarakat agar tidak berkongsi apa-apa maklumat yang tidak betul kepada masyarakat di mana-mana platform termasuk media sosial.
“Jangan kongsi kalau tidak betul, maksudnya disini, apabila kita pegang telefon tuan puan dihidangkan dengan pelbagai maklumat dari pelbagai sumber, maklumat dari pelbagai sumber yang tuan puan dapat itu adalah maklumat yang belum cukup sahih dan tepat, jadi sebelum kongsi baca betul-betul.
“Pihak MCMC dan Polis turut berperanan dan sentiasa memaklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan pelbagai berita berkaitan scammer seperti yang pernah terjadi dimana kakitangan awam yang baru sahaja pencen habis RM300 ribu disebabkan oleh scammer, maka janganlah percaya kepada apa-apa scammer.
“Hari ini, kita mengadakan Karnival Komuniti Madani yang melibatkan 12 komuniti yang ada di daerah kota Belud ini bertujuan mengangkat tuan-tuan dan puan-puan sebagai orang tengah orang kampung yang ada komuniti untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih tentang dasar-dasar kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya.
Program komuniti Madani tersebut di meriahkan dengan kehadiran kira-kira 300 pengunjung dan merupakan penganjuran pertama bagi negeri Sabah yang akan menjelajah ke 24 lagi daerah lagi selepas ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah MCMC Sabah, Heldora Hong, Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Tuaran, Fredlee Sintau dan Pegawai Penerangan Daerah Kota Belud, Rosnaniwati Rasidi. -PENERANGAN