ADVERTISEMENTspot_img

JAPEN Manfaat Platform Digital, Bersemuka Sampaikan Maklumat

Antara warga JAPEN Sabah bergambar kenangan sempena Sambutan Ulang Tahun JAPEN Ke-116.

PENAMPANG: Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) memanfaatkan platform digital dan bersemuka dalam menyampaikan maklumat, mesej dan dasar kerajaan kepada masyarakat.


Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, JAPEN kini mempelbagaikan pendekatan penyampaian maklumat mengikut perkembangan zaman.


“Meskipun berdepan dengan perubahan selari dengan peredaran zaman, JAPEN terus memperkukuh peranan dalam menyampaikan maklumat, mesej dan dasar kepada masyarakat.


“Dulu kita melaksanakan program ataupun menyampaikan maklumat secara bersemuka dan kaedah ini masih kita kekalkan walaupun setelah 116 tahun.


“Walau bagaimanapun, pendekatan bersemuka ini dilaksanakan seiring perkembangan teknologi dengan mengambil peluang menggunakan platform digital bagi memastikan penyebaran maklumat lebih menyeluruh.


“Supaya sebaran maklumat tersebut lebih menyeluruh, ia boleh sampai terus ke akar umbi agar semua masyarakat mendapat maklumat yang sepatutnya dan mendapat tahu berkenaan dasar dan juga inisiatif kerajaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-116 JAPEN yang berlangsung di sini, pada Khamis.


Menurut Jainisah, pelbagai program melibatkan warga JAPEN Negeri Sabah dan orang awam diadakan sempena sambutan berkenaan antaranya kuiz kenegaraan dan pameran.


“Program hari ini bukan hiburan semata-mata tetapi turut digunakan sebagai medium pemasaran maklumat melalui pengisian kuiz atas talian dan hiburan muzik dan mesej oleh PENTARAMA. 


“Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran foto eksklusif acara rasmi, terbitan buku JAPEN, serta nostalgia peralatan liputan lama seperti projektor wayang pacak dan kamera vintaj,” ujarnya. 


Pada majlis sama, beliau menyeru seluruh warga JAPEN Sabah agar kekal teguh dan bersemangat memikul amanah serta tanggungjawab menyalurkan maklumat kerajaan kepada rakyat, khususnya di Sabah./Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN