KOTA KINABALU, 4 Ogos 2025 – Kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang berhasrat melupuskan pinjaman pendidikan seperti PTPTN dan Yayasan Sabah serta menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar Sabah disifatkan sebagai “skrip politik lama yang diulang semula” menjelang pilihan raya akan datang.
Menurut Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan (gambar), rakyat negeri ini tidak mudah terpedaya dengan janji kitar semula yang pernah diutarakan ketika Warisan berkuasa antara 2018 hingga 2020.
“Ketika memegang tampuk pemerintahan, tidak ada sebarang pelaksanaan dasar konkrit yang membuktikan keprihatinan terhadap pendidikan anak-anak Sabah. Tidak ada pelupusan pinjaman, dermasiswa baharu atau inisiatif khas untuk mahasiswa luar negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, berbanding dengan pendekatan populis yang hanya timbul ketika musim pilihan raya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, telah membuktikan komitmen melalui pelbagai inisiatif pendidikan.
Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk Dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk keluarga B40, Dermasiswa Sabah Maju Jaya, penambahan peruntukan biasiswa Yayasan Sabah, serta program pembangunan sekolah daif luar bandar.
“Bukan hanya retorik, tetapi inisiatif konkrit turut dilaksanakan untuk membantu mahasiswa Sabah di luar negeri, sesuatu yang tidak pernah dilakukan semasa pentadbiran Warisan,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan rakyat Sabah, terutamanya golongan muda, agar tidak mudah terpengaruh dengan janji politik yang hanya muncul menjelang pilihan raya.
“Pendidikan bukan alat propaganda, ia adalah amanah yang perlu diurus dengan tanggungjawab dan dasar berterusan. Kerajaan GRS terus bekerja dan memberi, bukan sekadar menjanjikan mimpi,” tegas beliau.
Nizam, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak untuk maju ke hadapan dan tidak mundur akibat termakan janji lama dalam bungkusan baharu.



