27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jangan ganggu dana klinik untuk PJS: James


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib menegaskan supaya pihak berkenaan tidak ‘mengganggu’ dana yang telah dikhaskan bagi pembinaan klinik-klinik di Sabah untuk tujuan lain.


Beliau mengingatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tidak mengalihkan peruntukan pembinaan klinik di Sabah bagi membiayai pewujudan Pusat Jantung Sabah (PJS) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.


James memberitahu bahawa peruntukan sebanyak RM80 juta bagi pewujudan PJS di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II itu sepatutnya menggunakan peruntukan baru yang disalurkan melalui Kementerian Kewangan.


“Saya hairan apabila mengetahui peruntukan RM80 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah wang dari klinik kesihatan yang sudah diluluskan dan diambil, disimpan untuk ‘topup’ peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri.


“Justeru, saya minta kepada KKM, mana-mana projek yang telah diluluskan untuk naik taraf ataupun membina fasiliti di Sabah jangan lagi diganggu dan jangan dikacau.


“Buatlah yang Perdana Menteri umumkan itu melalui Kementerian Kewangan untuk mencari dana wang membina Pusat Jantung Sabah yang diumumkan RM80 juta itu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Klinik Family Care Jalan Pantai, di sini, hari Sabtu.


James yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, adalah tidak adil untuk mengambil peruntukan pembinaan klinik kesihatan yang kemudahannya sangat diperlukan penduduk terutama di luar bandar bagi merealisasikan PJS.


Dalam pada itu, James turut menegaskan agar cadangan pewujudan PJS di HQE II dikekalkan dan tidak dipindahkan ke lokasi lain.


Katanya, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, baru-baru ini mengenai kemungkinan menempatkan PJS di Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) akan melambatkan lagi penyediaan kemudahan itu.


“Matlamat kita memohon institut jantung Sabah ini, pertama memandangkan kewangan kita pada masa ini belum mengizinkan, maka peruntukan sedia ada sebanyak RM80 juta yang diumumkan itu adalah lebih baik untuk kita menambah fasiliti, kemudahan wad pusat jantung kita di HQE II.


“Tapi, baru-baru ini ada pengumuman daripada menteri KKM mengatakan akan mempertimbangkan untuk PJS itu ditempatkan di HUMS.


“Tapi, saya rasa HUMS masih lambat lagi untuk disiapkan, kita tidak tahu bila ia siap sedangkan kemudahan dan fasiliti jantung ini amat mendesak dan atas sebab itu adalah lebih baik menaik taraf wad HQE II,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN