25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

James hargai sokongan warga KPMKR, tekankan komitmen dan kolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan

KENANGAN… (Dari kiri) Pengarah JHEWA, Haslina Ismail, Pengarah JPKA, Jais Asri, Setiausaha Tetap, Datuk Maria Chong, Datuk James Ratib, Datuk Flovia Ng, Setiausaha Eksekutif MPMS, Joane Lee dan Setiausaha Eksekutif PEMADAM, Jossie Ansilmus.



KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPKMR), Datuk James Ratib menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kementerian itu yang disifatkannya sebagai pasukan kerja berdedikasi dan komited sepanjang beliau menerajui kepimpinan kementerian berkenaan.

Berucap pada Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih di sini, malam tadi, James merakamkan terima kasih kepada Datuk Maria Chong, Setiausaha Tetap KPMKR serta semua pegawai dan kakitangan kementerian yang banyak membantu merancang serta melaksanakan visi dan misi KPMKR.

“Jika dahulu KPMKR kurang dikenali, kini nama kementerian ini semakin menonjol dan dihargai rakyat Sabah hasil usaha dan komitmen bersama. Dalam tempoh kurang tiga tahun, kita telah melaksanakan banyak agenda untuk rakyat,” katanya.

James turut menyampaikan penghargaan kepada ketua-ketua jabatan seperti Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA), Setiausaha Eksekutif PEMADAM, Setiausaha Eksekutif Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) serta rakan-rakan ketua jabatan lain atas sokongan padu sepanjang kepimpinannya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pembantu Menteri, Datuk Flovia Ng, yang banyak membantunya dalam merialisasikan visi dan misi kementerian, terutama dalam agenda memperkukuh program kebajikan dan pemerkasaan komuniti, khususnya wanita, ibu tunggal, golongan miskin serta masyarakat luar bandar.



Dalam ucapannya, beliau turut memohon maaf atas sebarang kelemahan, keterlanjuran kata atau tingkah laku sepanjang bertugas sebagai Menteri, sambil berharap warga kementerian tidak menyimpan di hati sebarang kekhilafan yang berlaku.

“Saya manusia biasa yang tidak lepas daripada khilaf. Segala yang saya lakukan adalah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sabah serta kementerian yang kita cintai,” katanya.

James pada masa sama mengingatkan agar semua jabatan dan agensi di bawah KPMKR terus mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kelancaran pelaksanaan perancangan pembangunan negeri.

“Tanpa hubungan yang baik ini, banyak perancangan pembangunan akan tergendala atau peruntukan ditarik balik. Yang rugi akhirnya adalah kita dan seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan, pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat Sabah hanya dapat dicapai dengan kerjasama erat semua pihak termasuk Kerajaan Pusat.

James Ratib yang sebelum ini menyandang jawatan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat pada Mac 2023 di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih yang diadakan secara sederhana di sini malam tadi menjadi wadah penghargaan terhadap peranan, jasa dan sumbangan Datuk James Ratib sepanjang menerajui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR).

James dijangka menamatkan tugasnya di kementerian itu sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar pada bila-bila masa, yang difahamkan sekitar hujung September depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.





ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN