24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

James hadir memberi bantuan kepada mangsa kebakaran di PPS Pinangah


TONGOD: Lebih-kurang 80 orang mangsa insiden kebakaran yang berlaku di sini baru-baru ini mendapat perhatian daripada Menteri Pembangunan Masyarakan dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib di sini pada Isnin.


James yang hadir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membuat tinjauan terhadap keluarga yang rumah mereka musnah dalam kebakaran tersebut sambil menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.


“Hari ini saya berada di Kg. Pinangah, Tongod bersama dengan Pengarah dan juga team Jabatan Kebajikan daripada Kota Kinabalu dan Sandakan bagi meninjau mangsa-mangsa kebakaran rumah yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Mini Dewan dan Dewan Terbuka, Kg. Pinangah.


“Bantuan dalam bentuk wang ringgit itu disampaikan kepada 81 orang mangsa daripada 56 buah keluarga yang mengalami kebakaran tersebut.


“Bukan itu sahaja, pihak Jabatan Kebajikan juga meminta senarai nama pelajar-pelajar yang kehilangan pakaian, peralatan sekolah dan sebagainya, supaya bantuan yang sepatutnya dapat disalurkan pad akadar segera,” katanya.


James juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat mendirikan rumah-rumah Sementara kepada semua mangsa yang terlibat dengan secepat mungkin memandangkan Mereka sudah seminggu menduduki di PPS.


“Setakat ini hanya lebih kurang lima keluarga yang telah berpindah ke rumah keluarga Mereka, Sementara yang lain belum ada rumah untuk diduduki, dan keadaan di PPS kini sudah terlalu sesak,” katanya.


Menurut James, Kementeriannya melalui JPKA dan Klinik Kesihatan Pinangah, akan terus memantau PPS ini dari masa ke semasa bagi memastikan bekalan makanan mencukupi selain sentiasa memantau tahap kesihatan mereka sepanjang berada di PPS.


“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Pinangah supaya dapat memantau tahap kesihatan para mangsa di PPS ini dan memastikan keperluan Mereka dari segi kesihatan dan sebagainya, dijaga.


“Di samping itu juga Jabatan Kebajikan telah memberikan tong gas dan dapur bagi digunakan oleh mereka yang terlibat untuk memasak,” katanya.


Sementara itu, katanya beliau sendiri telah melawat ke lokasi kebakaran dan mendapati rumah-rumah mereka adalah rumah yang tersusun sebelum kejadian berlaku, dan boleh dikatakan 100 peratus penduduk di sana adalah rakyat tempatan.


Justeru, beliau akan bangkitkan dalam Kabinet apa usaha-usaha yang dapat kerajaan lakukan untuk membantu mereka yang terlibat dengan kadar segera.


“Selaku Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Insyahallah saya akan bawa perkara ini semasa Mesyuarat Jemaah Menteri, minggu ini yang dipengerusikan YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor.


“Dalam kesempatan ini, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada organisasi NGO dan badan-badan korporat serta semua pihak yang telah tampil memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran rumah di sini,” jelas beliau.


Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Walter Kenson, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am JPKA, Jais Asri dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN