JUARA….Jamil menyampaikan hadiah kepada Jamberi juara MTB Merinding Park Downhill Time Trail Challenge 2.0
LABUAN: Jamberi Sahari muncul juara Kejohanan Mountain Bike (MTB) Merinding Park Downill Time Trail Challenge 2.0 kategori lelaki selepas mencatat masa 2 minit 23 saat untuk menewaskan 31 peserta lain yang menyertai pertandingan tersebut.
Dengan kemenangan itu beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM400.
Naib johan dimenangi oleh Mohd Azlan Dahlan dengan kepantasan 2 minit 25 saat untuk menerima hadiah wang tunai RM350.
Tempat ketiga dimenangi oleh Mohamad Saiful Saien dengan catatan masa 2 minit 27 saat dan tempat keempat dimenangi oleh Hazizi Hazalan (2 minit 29 saat).

BASHIR (tiga dari kanan) bersama Mohamad Syahiffie (empa dari kanan) melepaskan salah seorang peserta yang mengambil bahagian di Kejohanan MTB Merinding Park Downhill Time Trail Challenge 2.0.
Sementara itu, bagi kategori wanita johan dimenangi oleh Dayang Ina Shazlyana Suhaimi dengan catatan masa 3 minit 39 saat sekaligus menerima hadiah wang tunai RM300.
Naib johan dimenangi Wan Nila Kasma dengan catatan masa 3 minit 49 saat menerima hadiah wang tunai RM200 dan tempat ketiga dimenangi Siti Fairuz Hussin (4 minit 53 saat) menerima hadiah wang tunai RM150 dan tempat keempat dimenangi oleh Eva Erdiana Arddey dengan catatan masa 6 minit 54 saat.
Kejohanan yang diadakan pada Sabtu lalu itu menyaksikan cabaran berbasikal lasak menuruni bukit MTB Merinding Park setinggi 63 meter (sejauh 1 kilometer) dianjurkan oleh JHK Events dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan.
Sementara itu, acara perlepasan para peserta disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohamad Syahiffie Japril dan Pengerusi MPP Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.
Pengerusi JHK Events, Jamil Haji Kario berkata, kejohanan tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.
“Selain itu kejohanan ini bertujuan untuk menyemai semangat kesukanan dalam masyarakat setempat terutamanya kepada generasi muda yang gemar aksi lasak yang lebih mencabar” katanya.