RANAU: Jmbatan gantung yang rosak akibat bencana banjir yang menghubungi Kg Lungkidau dan juga semua kerosakan akibat bencana di kampung-kampung yang terlibat di kawasan Paginatan akan ditangani dengan kadar segera.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, perkara-perkara yang mendesak itu sebenarnya telah dikemukakan kepada Agensi Bencana Alam Negara (NADMA) dan juga Pusat Kawalan Operasi Bencana Ranau(PKOB).
“Perkara ini sememangnya sudah dalam perhatian kita sejak dari awal dan respon serta merta telah diberikan. Kini kita masih menunggu tindakan seterusnya daripada agensi-agensi tersebut.
“Mengenai jambatan konkrit ke Kg Lungkidau yang mendapat perhatian Yang Dipertuan Agung semasa Jelajah Borneo Baginda, ianya juga kini dalam proses reka bentuk teknikal oleh pihak JKR dan dijangka sebutharga akan dikeluarkan tidak lama lagi,” kata beliau.
Berkenaan pembangunan Pekan Kecil Paginatan Abidin menambah bahawa setakat ini LPPB telah melantik juru ukur untuk mengenalpasti sempadan kawasan di antara kampung Kg Paginatan dan Kg Lungkidau di mana crew juru ukur tersebut dipercayai sudah berada di lapangan.
“Kawasan N38 Paginatan mempunyai 83 buah kampung yang mempunyai JKKK, jadi peruntukan daripada Kerajaan adalah dibahagi-bahagikan kepada kesemua kampung tersebut.
“Walau bagaimanapun kita akan tetap berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah kampung setakat yang terdaya dengan menggunakan segala sumber yang kita ada,” kata beliau, sambal menambah bahawa permohonan dari kampung-kampung akan dilihat sewajarnya.
Abidin yang juga merupakan Adun Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Dewan Kg Terikon Ranau pada hari Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru supaya para penduduk di sini meneruskan kerjasama yang sedia ada yang wujud di kalangan masyarakat setempat.
“Perlu ada kerjasama erat di antara Mahkamah Anak Negeri (MAN), JKKK, orang kampung dan juga kepada wakil rakyat DUN Paginatan,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kg Terikon, Licos George memohon bantuan untuk keperluan kampung tersebut termasuk permohonan pendawaian dua buah rumah yang mana salah satunya adalah kepunyaan seorang bapa tunggal.
“Penduduk di sini juga memerlukan sebuah jambatan gantung sepanjang 200 kaki untuk keperluan mendesak penduduk kampung menyeberangi sungai, di samping pembesaran bagi dapur dewan kampung serta pealatan dapur yang mencukupi,” kata beliau.
Turut Hadir di majlis itu, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau yang mewakili MP Ranau Datuk Jonathan Yasin, Benedict Gunda, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, Ketua Anak Negeri (KAN), Sawalin Zakaria, KAN Jaimin Jeffry, Pemaju Mukim, Yasiri Bijin dan lain-lain.