27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, April 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jambatan rosak Kg Lungkidau akan digantikan tidak lama lagi: Abidin


RANAU: Penduduk Kawasan Paginatan, khususnya di Kg Lungkidau diminta agar bersabar sementara menantikan pembinaan jambatan baharu menggantikan jambatan yang rosak dimulakan kelak.


Adun Paginatan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata status terkini jambatan konkrit Kg Lungkidau sudah dalam peringkat rekabentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).


“Proses tender akan dikeluarkan pada bulan Mei 2024 dan dijangka pembinaannya akan dilaksanakan sebaik saja pemilihan kontraktor dimuktamadkan.


“Sementara itu, ‘warrant’ pembinaan jambatan gantung Kg Lungkidau telah diterima dan kerja pembinaan akan dilaksanakan serta merta,” kata beliau.


Sementara itu, Abidin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor kerana telah membantu memberi kelulusan segera untuk pembinaan jambatan gantung tersebut.


Beliau berkata demikian semasa penyerahan sumbangan khas kepada peduduk Kg Lungkidau yang diserahkan kepada Pengerusi JKKK Kg Lungkidau Minjun Sapanggal di pejabatnya di Kiaburi baru-baru ini.


Minjun melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Abidin kerana terus prihatin kepada penduduk Kg Lungkidau atas kepayahan mereka ekoran kerosakan dua buah jambatan yang menghubungi kampung tersebut dengan jalan utama ke Pekan Ranau.


“Sumbangan tersebut sekurang kurangnya dapat membantu keperitan penduduk mengharungi kehidupan sebelum jambatan tersebut dipulihkan,” katanya.


Turut hadir dalam acara itu, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, Ketua Anak Negeri (KAN) Dualis Porodtong, Pemaju Mukim Paginatan/Paus Yasiri Bijin dan lain-lain.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN