Abidin (tengah) memotong riben perasmian jambatan gantung tersebut
RANAU: Penduduk di Kg Muruk di sini menarik nafas lega apabila jambatan gantung yang baharu telah siap dan dirasmikan untuk kegunaan masyarakat di sini pada hari Sabtu.
Jambatan gantung sepanjang 45 meter yang merentasi Sungai Kananapon itu telah dirasmikan pembukaannya oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Bercakap kepada media semasa acara itu, beliau memberitahu bahawa kos pembinaan jambatan gantung tersebut yang berjumlah RM65,000 dibiayai oleh kerajaan melalui peruntukan Adun.
Menurutnya, dengan siapnya infrastruktur tersebut, ia akan memberi banyak manfaat kepada para penduduk dimsekitar kawasan ini dan juga orang awam serta kakitangan kerajaan untuk berurusan di kawasan seberang sungai.
“Dahulu sememangnya ada jambatan gantung yang dibina merentasi sungai ini, namun keadaan jambatan tersebut sudah terlalu usang dan membahayakan penduduk terutama anak-anak kecil ketika menyeberang.
“Justeru dengan memikirkan kepentingan penduduk, pihak kita mengambil keputusan untuk membina satu jambatan baharu yang lebih kukuh dan mampu menjamin keselamatan serta keselesaan para penduduk,” katanya.
Abidin yang juga merupakan Adun Paginatan berkata, kebanyakan penduduk yang menggunakan jambatan gantung tersebut adalah golongan tani yang memunggah hasil tanaman ke pasar dan pekan, dan juga para murid-murid sekolah rendah.
“Kini, dengan terbinanya jambatan gantung bahatu ini, kita yakin bahawa ia memberi banyak manfaat kepada para penduduk kampung, terutama sekali golongan petani dan juga merid-murid sekolah,” katanya.
Beliau berterimakasih dan memuji kecekapan kontraktor yang terlibat yang telah berjaya menyiapkan jambatan itu hanya dalam tempoh satu bulan dari terikh mula pembinaan.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah Setiausaha Parti Star Paginatan, Juis Konsoling, Ketua Anak Negeri, Dualis Porodtong, Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK antara lain.