28.2 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jambatan Gantung Penampang, Tuaran Dibina Semula Dengan Peruntukan RM1 Juta

Ahmad Zahid menghadiri Sesi Taklimat Kejadian Bencana dan Laporan Kewangan di Negeri Sabah.

SANDAKAN:   Kerajaan Persekutuan bersetuju membina semula jambatan gantung di Penampang dan Tuaran yang rosak akibat banjir dengan peruntukan RM1 juta.

Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan tersebut akan disalurkan kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

“Langkah segera ini merupakan tindakan proaktif susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah bermula 30 Jun 2024.

“Mengikut perincian laporan yang diterima, kejadian itu menjejaskan kehidupan 485 mangsa di kedua-dua daerah dan Putatan,” jelas beliau.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana memaklumkan, Agensi Bencana Negara (NADMA) turut diarahkan untuk menempatkan tiga set jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) sepanjang 39 meter dan mampu menampung beban seberat 50 tan pada satu-satu masa.

“Kemudahan ini adalah langkah persediaan sekiranya wujud keperluan segera bagi menggantikan jambatan runtuh,” ujarnya.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan kajian di kawasan tanah runtuh berdekatan kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang berikutan hujan lebat berterusan pada 23 Jun lalu.

“Tindakan ini akan turut diselaraskan oleh pihak NADMA bagi mengenal pasti tindakan berkaitan yang perlu diambil,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengarahkan JMG meletakkan pengesan atau sensor pergerakan di cerun- cerun kaki Gunung Kinabalu serta kawasan-kawasan tumpuan penduduk dan pelancong, di samping menyarankan Jabatan Kerja Raya (JKR) agar melaksanakan pemeriksaan dengan lebih kerap dan mengenal pasti jalan-jalan yang terputus hubungan.
Dalam pada itu, kerajaan persekutuan juga memperuntukkan RM10 juta untuk menangani kesan cuaca kemarau di seluruh negara khususnya di Sabah.
Kemarau dilaporkan mula melanda pada pertengahan Mac dan berakhir pertengahan Mei lalu, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih di beberapa buah kampung.

“Kerajaan amat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan petani di Sabah apabila tanaman masing-masing tidak mengeluarkan hasil sepatutnya akibat kesan cuaca panas, Kerajaan Persekutuan menggerakkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Negeri Sabah pada akhir Mac lalu.

“Langkah itu merupakan antara usaha bersepadu Kerajaan bagi mengurangkan impak cuaca panas di kawasan terjejas manakala OPA kedua akan dilaksanakan sekiranya keadaan didapati belum pulih sepenuhnya.

“Kerajaan Persekutuan berharap segala usaha ini berkesan dalam membantu dan melancarkan kelangsungan hidup rakyat negeri Sabah mendepani situasi banjir dan kesan cuaca kemarau pada masa akan datang.

“Segala langkah dan tindakan difikir wajar akan diambil mengikut keperluan kerana kesejahteraan rakyat di Negeri Sabah sentiasa menjadi keutamaan,” kata beliau.

Ahmad Zahid menyatakan demikian ketika menghadiri Sesi Taklimat Kejadian Bencana dan Laporan Kewangan di Negeri Sabah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah di sini, hari ini.Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Aminurrahim Mohamed. – Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN