28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Jambatan Besi 60 Meter Hanyut Dibawa Arus Deras di Ranau

TINGGAL TIANG… Keadaan struktur jambatan yang hanya berbaki tiang selepas dihanyutkan arus deras Sungai Molout dalam kejadian banjir di Ranau.


RANAU: Sebuah jambatan besi sepanjang kira-kira 60 meter yang merentangi Sungai Molout di sini dilaporkan hanyut dibawa arus deras susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.


Kejadian dipercayai berlaku selepas hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat secara mendadak sebelum mengakibatkan struktur jambatan itu runtuh dan dihanyutkan arus.


Jambatan berkenaan merupakan laluan utama yang menghubungkan Kampung Bayag, Kampung Togoyog dan Kampung Kitaie, sekali gus menjadi nadi perhubungan penduduk setempat bagi urusan harian termasuk bekerja, menghantar anak ke sekolah serta menjalankan aktiviti ekonomi.


Kehilangan kemudahan itu menyebabkan penduduk terputus hubungan darat dan terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh serta berisiko. Keadaan berkenaan turut menjejaskan pergerakan pekebun yang bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan.


Selain itu, pelajar dari ketiga-tiga kampung terbabit dilaporkan menghadapi kesukaran untuk hadir ke sekolah berikutan ketiadaan laluan selamat untuk menyeberangi sungai berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap aspek keselamatan anak-anak mereka.


Pemaju Mukim Parlimen Ranau, Yami Ginsos berkata kejadian itu amat membimbangkan kerana jambatan tersebut telah sekian lama menjadi kemudahan penting kepada masyarakat setempat.


Beliau berharap pihak berwajib dapat segera menjalankan penilaian di lokasi kejadian dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyediakan penyelesaian jangka pendek sementara menunggu pembinaan semula jambatan baharu.


Sementara itu, penduduk Kampung Bayag, Kampung Togoyog dan Kampung Kitaie merayu agar usaha pembinaan semula jambatan berkenaan dapat dipercepatkan demi memastikan kelangsungan kehidupan harian mereka kembali seperti sediakala. –Oleh Salwa Aramat

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN