THONNY CHEE….Timbalan Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Sabah
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat Sabah meminta Kementerian Kerja Raya Persekutuan dan Negeri memberi perhatian kepada Penyelenggaraan Jalanraya daripada Tuaran ke Ranau yang menjadi laluan utama kepada rakyat negeri ini serta pelancong dalam dan luar negara.
Lawatan kami ke Kundasang dan Ranau pada sabtu lepas mendapati keadaan jalanraya semakin teruk dan ada kawasan-kawasan kritikal dan bahaya perlu penyelenggaraan segera sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Kami tidak mahu masalah jalanraya ini akan menjejaskan usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan fokus utama termasuk Sektor Pelancongan dengan disokong oleh Jaringan Infrastruktur Asas seperti jalanraya yang diselenggara dengan baik.

Kami menggesa Kerajaan Pusat menambah peruntukan Penyelenggaraan Jalanraya Persekutuan di negeri ini dengan memberi tumpuan kepada laluan-laluan utama terutama segmen-segmen kritikal yang perlu perhatian segera.
Selain daripada itu kami juga ingin mengingatkan Kerajaan Negeri khususnya Kementerian Kerja Raya bahawa status jalanraya negeri ini yang sepanjang 22370.95 km hanya lebihkurang 48% sahaja yang berturap. Jalanraya luarbandar sepanjang 2673.11 km masih lagi 34% jalan kelikir dan 11% jalan tanah.

Oleh itu, pihak kami menggesa agar isu jalanraya negeri ini perlu ditangani sebaik mungkin dalam merealisasikan Halatuju Sabah Maju Jaya yang telah mengenalpasti pemetaan tumpuan Jaringan Infrastruktur berdasarkan Nod dan Hotspot yang bakal menjadi pemacu kawasan ekonomi negeri ini.
Akhirnya kami meminta Ahli Parlimen Ranau dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dapat menyuarakan isu penyelenggaraan Jalanraya ke Ranau ini disidang Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Mesyuarat Kabinet untuk tindakan segera.