28.2 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jalan rosak ancam keselamatan penduduk Matunggong


LAWATAN…. Julita (tengah) dalam lawatan kerjanya, meninjau sebuah jambatan yang hampir jatuh dan tidak selamat untuk dilalui oleh kenderaan besar, di Kampung Bonsiku, mukim Sikuati Dualog, Matunggong, kelmarin.

KUDAT, 24 Januari 2021: Keadaan jalan raya yang rosak terutama di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (Matunggong) boleh mengancam keselamatan penduduk dan kemungkinan meragut nyawa jika ia tidak dibaiki segera.

Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Julita Majungki menggesa segera dilakukan kerja-kerja membaiki kerosakan selain menambah pembangunan infrastruktur rakyat selain menaik taraf kemudahan tertentu.

Julita berkata, dalam lawatan kerjanya ke beberapa mukim dalam kawasan Matunggong didapati terdapat jalan-jalan seperti di kampung Bonsiku, dalam mukim Sikuati Dualog rosak teruk.

Malah katanya, jambatan di kampung berkenaan juga sudah tidak selamat untuk dilalui oleh kenderaan besar dan hanya sesuai untuk basikal dan motosikal sahaja.

“Pihak yang terbabit untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan dan jambatan perlu bertindak segera agar tiada berlaku kemalangan jiwa berlaku,” tegasnya selepas melakukan lawatan kerja tersebut.

Julita yang juga merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat turut meninjau keadaan sebuah jambatan konkrit yang hampir jatuh di kampung Inukiran yang tidak boleh digunakan kenderaan berat seperti kenderaan mengeluarkan hasil pertanian.

“Saya sedaya upaya akan memastikan jambatan-jambatan dalam kawasan Matunggong diperbaiki dengan kadar segera, kerana kita tahu penduduk kampung menggunakan jambatan-jambatan Ini untuk menghubungkan mereka dengan kampung lain,” jelas Julita.

Dalam pada itu, Julita berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kudat yang ketika Ini dalam usaha menaiktaraf beberapa jalan raya dalam kawasan Matunggong.

“Saya menghargai dan berterima kasih di atas keprihatinan dan inisiatif pihak JKR Kudat demi memastikan kemudahan infrastruktur rakyat di kawasan Matunggong dipertingkatkan.


Dalam lawatan itu, Julita sempat mengunjungi sebuah keluarga yang rumah mereka rosak akibat banjir di kampung Bingolon, dalam mukim Tambuluran.

Lawatan kerja itu diiringi oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Matunggong, Marius Masain serta kakitangan Pejabat ADUN N5 Matunggong dan UPPM Matunggong.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN