NABAWAN: Jalan Bonor – Pangaraan sejauh lebih kurang 50 kilometer akan diselenggara dalam masa yang terdekat untuk keselesaan penduduk di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, kontraktor telahpun dilantik untuk melaksanakan penyelenggaran jalan tersebut.
“Saya difahamkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Nabawan kontraktor telah dilantik dan akan memulakan kerja-kerja penyelenggaraan pada bila-bila masa.
Walau bagaimanapun katanya, beliau akan menemui pihak JKR dan kontraktor bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dimulakan dengan kadar segera.
Ini katanya, kerana jalan berkenaan kini mengalami kerosakan yang perlu diselenggarakan untuk keselesaan penduduk di kawasan ini yang melibatkan lebih sepuluh kampung dalam kawasan DUN Nabawan dan Sook.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) bercakap kepada media ketika ditemui pada program santai bersama penduduk di tujuh buah kampung di kawasan Tatalaan yang bakal diwujudkan sebagai satu lagi Mukim di DUN Nabawan.
Program santai bersama penduduk tujuh buah kampung membabitkan Kampung Pangaraan, Pohon Batu, Sumbiling, Binanun, Nangkawangan, Ponontomon dan Katalirus itu berpusat di Kampung Binanun pada Selasa.
Ghani berkata, apabila jalan tersebut siap diselenggarakan sudah pasti ia memudahkan penduduk mengeluarkan hasil pertanian mereka selain menjalankan urusan-urusan lain di pekan.
Walau bagaimanapun katanya, untuk tindakan segera bagi menyelenggara beberapa lokasi yang kerosakannya kritikal yang sukar dilalui, LKTNS akan mengambil tindakan sementara menunggu kerja-kerja penyelenggaraan oleh kontraktor yang dilantik.
Menjawab soalan lain Ghani berkata, pengwujudan Mukim Tatalaan yang sudah lama dirancang telah dikemukakan kepada pihak atasan dan kementerian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pihak pentadbiran daerah sudah mengesyorkannya kepada pihak atasan untuk penelitian kerana ia memerlukan bajet.
Menurut Ghani, pada dasar Kerajaan Negeri telah bersetuju cuma ia bergantung kepada peruntukan.
“Kita berharap pengwujudan Mukim Tatalaan menjadi kenyataan kerana ia perlu di kawasan ini yang terletak jauh dari Mukim Pemuntarian yang pada menjadi naungan pengurus di kawasan Tatalaan pada masa ini” jelasnya.
Pengwujudan Mukim Tatalaan akan memudahkan penduduk di kawasan itu dari segi pengurusan pembangunan kampung.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Puan Alane Medin, Pengurusan Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Syaheddrul R. Joddari, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai dan pemimpin-pemimpin masyarakat.