Jahid saran sekolah-sekolah  luar bandar tubuh  alumni

Jahid saran sekolah-sekolah luar bandar tubuh alumni

01/07/2021 Off By Marutin Ansiung

JAHID Menanam benih buah durian sambil disaksikan Abit dan para pemimpin yang hadir, serta kakitangan sekolah tersebut.

TAMPARULI: Sekolah-sekolah di seluruh negeri terutamanya di kawasan luar bandar disaran menubuhkan Persatuan Bekas Pelajar atau alumni masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar perlu menubuhkan persatuan alumni mereka bagi memberi peluang bekas pelajarnya untuk berkhidmat kepada komuniti bukan sahaja di sekolah itu, malah juga di kampung.

“Sudah pasti dengan tertubuhnya alumni itu nanti, maka mana-mana bekas pelajar sekolah turut memainkan peranan penting dalam mencetuskan kecemerlangan sekolah melalui jalinan kerjasama dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Rungus, sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Setiausaha Perhubungan Awam, Romeo Sindeh dan Setiausaha Sulit, William Ugau.

Selain itu, antara kepentingan adanya alumni, mana-mana bekas pelajar yang telah bekerja dan berjaya di dalam bidang masing-masih juga mampu menyumbang semula dalam program-program kecemerlangan pendidikan sekolah.

“Sama ada untuk kecemerlangan sekolah, atau juga dari segi pembangunan infra di bekas sekolah, sudah pasti dapat dibantu,” katanya.

Jahid, yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, yakin bahawa bekas pelajar sesebuah sekolah mempunyai kekuatan tersendiri bagi membantu menjayakan aktiviti dan pembangunan di sekolah mereka masing-masing.

“Bukan sahaja dari segi sumber kewangan tetapi cadangan serta idea bernas daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang kepakaran dan pendidikan juga penting bagi meneruskan kesinambungan kemajuan sekolah ini kelak,” katanya.

Mengenai kemudahan liputan internet melibatkan kawasan pedalaman termasuklah di Kampung Rungus, beliau berkata, itu merupakan antara perkara penting yang akan diberi tumpuan selain pembangunan dari segi infrastruktur dan peningkatan ekonomi penduduk luar bandar.

“Kita amat memahami bahawa internet kini merupakan satu keperluan amat penting dalam kehidupan, apatah lagi kepada
Dalam pada itu, Jahid turut menggesa kepada mana-mana penduduk yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 agar segera berbuat demikian bagi mengekang penularan penyakit berkenaan, dengan mendaftar di aplikasi MySejahtera atau mengisi borang secara manual.

Terdahulu, Guru Besar SK Rungus, Abit Sawayan, menghargai kehadiran Jahid yang merupakan satu daripada sejarah terpenting kepada sekolah itu kerana kali pertama dikunjungi oleh seorang Menteri kabinet negeri.

Abit berharap kehadiran Jahid akan memberi suntikan harapan dan semangat kepada mereka terutamanya dari segi pembangunan di sekolah berkenaan.

Sebagai gimik tanda kehadiran Jahid ke sekolah tersebut, diadakan acara menanam benih buah berhampiran bangunan sekolah berkenaan.