30.6 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jahid Jahim lawat Nurfirdaus Mushroom Village, di Kg.Rongolis.

BEGINI …. Jaffrin (kiri depan) menunjukkan cara-cara pembuatan bongkah cendawan kepada Jahid dan rombongan.

0leh: Marutin Ansiung

TAMPARULI: Nurfirdaus Mushroom Village, sebuah perusahaan berasaskan cendawan, di Kampung Rongolis, dekat sini, menerima lawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, hari ini.

Jahid, bersama rombongan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) membuat Lawatan Kerja Pembuatan Bongkah Cendawan Kampung Rongolis, yang dimiliki sepenuhnya usahawan tempatan, yang juga merupakan seorang pendidik, Drs. Jaffrin Singkod, Nurfirdaus Mushroom Village,

Ketibaan Jahid bersama rombongan disambut mesra Jaffrin dan Pengurus Pemasaran, Chelsea Drew, serta kakitangan beliau.

Sepanjang lawatan, Chelsea dan Jaffrin memberi penerangan mengenai proses membuat bongkah cendawan dari awal hingga akhir selain membawa rombongan Menteri itu melawat ke tapak penempatan bongkah cendawan.

JAHID Menyaksikan proses pengukusan bongkah cendawan selama lima hingga lapan jam, bagi menyahkuman bahan-bahan yang terdapat pada bongkah berkenaan.

Selain itu, Jahid dan rombongannya berpeluang melihat sendiri praktikal dan demo menyuntik, membungkus bongkah, serta menyaksikan pameran bongkah siap, matang dan separuh matang.

Antara tempat yang dilawat mereka adalah rumah Cendawan Tiram, dan rumah Kodop, serta Projek Cendawan Kukur atau Kulat Sisir.

Menurut Jaffrin, beliau memulakan perusahaan berkenaan sejak 2016 dan sehingga kini beliau sudah mampu untuk menggaji seramai lapan pekerja, di mana empat daripadanya merupakan pelajar sekolah yang datang mengambil upah membuat bongkah secara sambilan.

Katanya, di samping dapat memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, beliau turut berbangga kerana dapat mengongsikan kemahiran dan hasil kilang cendawan beliau kepada masyarakat yang lain.

“Buktinya, pada April lepas, kami telah berjaya menjual sebanyak 6000 bongkah Cendawan Tiram dan 1000 Kodop, yang mana merupakan antara pencapaian terbaik kami setakat ini,” katanya.

Tambahnya, pada masa akan datang, pihak beliau merancang produktiviti lebih luas dengan menambah lebih banyak peralatan.

“Selain itu, kita akan memberi latihan seramai yang boleh kepada usahawan yang berminat dengan Cendawan, agar mereka juga mampu menjalankan perniagaan mereka dalam bidang cendawan ini, di samping dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat,”.

Misi beliau pada masa akan datang, adalah untuk mempunyai bilik pameran, tempat latihan serta Cafe untuk menyambut para pengusaha dan pelancong yang berminat dengan cendawan.

“Itulah sebabnya kami kelak akan menamakan tempat ini sebagai ‘Pusat Keusahawanan Cendawan Nurfirdaus Mushroom Village’,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPLBS, Hj Faimin Kamin, Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Setiausaha Politik KPLBS, Jilias Lintar, Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Keusahawanan Industri Desa (KID), Cornelia Han, para pegawai KPLBS dan kakitangan Pejabat Menteri KPLBS.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN