Abidin dan lain-lain bergambar bersama para penduduk Kg Tiang Lama dalam program tersebut
RANAU: Penduduk di sini digesa agar menjaga kerukunan kampung dengan menyisihkan perbezaan pendapat dengan penyelasaian menang-menang kearah merealisasikan perdamaian di antara sesama.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, isu perpaduan adalah isu yang paling penting di dalam sesuatu komuniti dan kerukunan kampung mesti sentiasa dipelihara.
Justeru, katanya, adalah tugas Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung (KK) untuk saling bantu membantu di antara satu sama lain supaya agenda pembangunan kampung dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Walaubagaimanapun kedua pemimpin ini harus tahu sempadan tugas masing-masing supaya ketidaksefahaman dapat dielakkan.
“Banyak masalah akan timbul jika sekiranya ada pergeseran di kalangan pemimpin kampung. Ia juga akan membantutkan pembangunan kampung.
“Saya berseru kepada semua penduduk kampung, lupakan perselesihan lalu dan mulakan satu lembaran baru yang mengutamakan perpaduan dan kesatuan kampung untuk kebaikan bersama,” ujar beliau.
Abidin yang juga merupakan ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Balai Raya Kg. Tiang Lama dekat sini baru-baru ini.
Dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat pada kali ini, Abidin yang juga Naib Presiden Parti StarSabah sempat menerima borang keahlian baru daripada 30 orang penyokong yang terdiri daripada penduduk Kg. Tiang Lama.
“Tidak dinafikan Tiang Lama adalah kubu kuat Parti StarSabah. Ini terbukti dalam PRN16 yang lalu kita menang dengan bergaya di PDM Tiang Lama.
Momentum ini kita akan teruskan di PRN17 nanti.
“Kita bersyukur kerana status Kg. Tiang lama kekal di bawah DUN Paginatan walaupun ada ura-ura satu masa dahulu ia akan dipindah ke DUN Tambunan.
“Perpindahan kawasan memerlukan pengurusan yang rumit. Di samping keperluan untuk referendum ia juga perlu dibawa ke Mesyuarat DUN dan memerlukan kelulusan cabinet,” katanya.
Sementara itu, Abidin menegaskan bahawa Kerajaan sekarang adalah kerajaan GRS yang mana salah satu komponennya adalah Parti Star, dan budget 2025, iaitu yang tertinggi dalam sejarah, hanya dapat diteruskan jika sekiranya GRS sekali lagi diberi mandat untuk memerintah Sabah selepas PRN 17.
“Oleh itu teruskan sokongan kepada kerajaan GRS untuk kesinambungan pembangunan yang sudah dirancang oleh kerajaan. Jangan lupa bahawa Sabah adalah rumah kita, dan rumah kita, kita yang jaga.
“Parti StarSabah amat bertuah kerana mempunyai Presiden yang mempunyai visi dan misi yang jauh ke hadapan.
“Presiden Parti StarSabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan adalah pelopor tulin mengenai hak-hak Sabah dan amat konsisten dari dahulu hingga sekarang. Kita akan teruskan menyokong perjuangan dan kepimpinan Presiden kita,” kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kg. Tiang Lama Fabian James mengharapkan lawatan YB Datuk Abidin ke sini dapat memberikan perubahan kepada Kg. Tiang Lama terutama jalan akses ke kampung.
“Kampung ini adalah tumpuan pelancong luar kerana mempunyai destinasi pelacongan yang cantik iaitu Taralamas River Canyon. Justeru pembaikan jalan juga dapat membantu para petani bagi mengeluarkan hasil pertanian mereka,” katanya.
KK Kg. Tiang Lama Puyus Dabal turut berterima kasih atas kehadiran ADUN meninjau keperluan kampung, dan menegaskan bahawa penduduk Kg. Tiang Lama sentiasa berada di belakang beliau dan ini terbukti PRN lepas Abidin menang di kawasan PDM Tiang Lama.
“Sentimen penduduk terutama orang muda di sini ialah sentiasa melihat apa pembangunan yang dibawa oleh pemimpin.
“Keutamaan mendesak di sini ialah pembaikan jalan ke Kg Tiang Lama, satu kampung yang bersempedanan dengan Kawasan Tambunan.
“Kita menafikan isu-is yang dibangkit oleh penduduk kampung seperti; Pembalakan – kerana cuma Ketua Menteri sahaja yang boleh meluluskan lesen pembalakan; Isu perlantikan KK (hanya wakil Rakyat yang berkuasa melantik KK); dan Isu tanah (perlu bantuan YB untuk pengukuran tanah-tanah di Kg. Tiang Lama).
“Sebagai KK di sini, saya akan sentiasa bekerjasama dengan Pengerusi JKKK untuk melaksanakan agenda pembangunan yang dibawa oleh Wakil Rakyat DUN Paginatan dan sedia memaafkan orang yang melemparkan tohmahan dan fitnah yang memburukan nama saya,” katanya.
Menurut Puyus, antara perancangan kampung adalah pembentukan Koperasi Taralamas, di mana koperasi ini akan menceburi bidang pelancongan, pertanian dan ternakan lembu pedaging, yang dijangka dijalankan di tapak berkeluasan 500 ekar.
“Kita juga berharap mendapat rangkaian jalan perkebunan. Kita akan usulkan kepada Syarikat Pembalakan untuk melaksanakan pembinaan jalan perkebunan ini.
“Kita juga berharap dapat memendekkan perjalanan ke Pekan Ranau dengan membina jalan melalui Kg. Longut. Di samping itu, kita juga akan membeli sebuah mesin excavator (Hitachi) untuk keperluan kampung.
“Selain itu, kita juga berharap semua penduduk sini dapat menceburkan diri dalam penanaman Guarana. Dan kita memohon bantuan YB ADUN supaya setiap keluarga dapat bekalan bibit jika sekiranya tanaman ini mendapat kelulusan Jabatan Pertanian untuk ditanam,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Abidin memberitahun bahawa mengenai tanaman pokok Guarana, ia masih dalam proses penyelidikan Jabatan Pertanian di mana ia juga masih berhadapan dengan masalah perundangan.
“Kita akan membantu penduduk Kg Tiang Lama dengan bekalan bibit Guarana apabila masalah-masalah berkaitan sudah diselesaikan.
“Kita juga akan memberi surat sokongan kepada kampung supaya penyelenggaraan jalan akses Kg. Tiang Lama diberi sepenuhnya kepada JKR Ranau.
“Untuk prasarana Taralamas River Canyon, Pengerusi Tagal diseru membuat permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan kita akan beri sokongan penuh,” katanya.
Di majlis itu, Abidin telah sempat meluluskan peruntukan pembinaan varanda Balai Raya kampung, gelanggang sepak takraw dan mesin pengisar padi untuk kegunaan penduduk Kg. Tiang Lama.
Turut hadir di majlis itu, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Sawalin Zakaria, Pemaju Mukim Sibin Keidau, Ketua Penerangan Star Paginatan Suhaimin Duari, para pemimpin kampung sekitar dan lain-lain.



